
PENYANYI dan pelakon Jepun, Shoko Nakagawa meluahkan rasa terharu selepas berpeluang bertemu idola sepanjang hidupnya, Jackie Chan, meskipun sedang sarat hamil lapan bulan dengan anak kembar lelaki.
Pertemuan itu berlaku ketika bintang aksi legenda berusia 71 tahun itu berada di Jepun bagi mempromosikan filem terbarunya Karate Kid: Legends dalam siri jelajah dua hari.
Nakagawa yang mengakui jarang keluar rumah pada fasa akhir kehamilannya, tekad untuk hadir kerana tidak mahu melepaskan peluang berharga bertemu insan yang dikagumi sejak kecil.
Momen tersebut menjadi lebih bermakna apabila Chan bukan sahaja menyapanya, malah sempat menyentuh perutnya dengan penuh lembut seolah memberi restu kepada dua nyawa yang sedang dikandung.
“Saya benar-benar bahagia! Jackie Chan terlalu menakjubkan. Beliau seorang legenda yang mengubah hidup ramai orang di seluruh dunia,” katanya.
Lebih menyentuh hati, sebelum meninggalkan acara, Chan sempat berpaling semula lalu mengirimkan ciuman berbentuk hati ke arah Nakagawa, satu memori yang akan disimpan selama-lamanya.
Nakagawa berkata, gambar pertemuan itu kini dijadikan wallpaper telefon bimbitnya.
“Satu hari nanti, saya akan tunjukkan gambar ini kepada anak kembar saya sebagai memori paling berharga ibu mereka,” tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram