
WANITA mana tidak buntu apabila mengetahui suami sudah berkahwin secara senyap di Thailand.
Lebih menyakitkan, si suami turut pernah melafazkan taklik, namun enggan memberikan kerjasama untuk menyelesaikan isu rumah tangga di mahkamah syariah.
Itulah terjadi kepada seorang wanita yang mempersoalkan tentang langkah boleh diambil untuk melepaskan diri daripada perkahwinan tidak lagi membawa makna itu.
Persoalannya, apakah wujud ruang undang-undang untuk isteri teraniaya?
Tampil menjelaskan situasi tersebut, Peguam Syarie, Asyraf A. Ranee berkata, isteri tidak perlu menunggu persetujuan suami sepenuhnya jika enggan memberikan kerjasama.
“Kalau suami pernah lafazkan taklik seperti ‘kalau kamu contact lelaki itu, jatuh talak’ dan isteri melanggar syarat itu, maka dari segi hukum, talak telah berlaku. Namun, ia tetap perlu disahkan oleh mahkamah,” katanya kepada Majoriti.
Beliau menekankan, isteri boleh memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah sekiranya suami enggan hadir atau tidak mahu mengaku.
Pengesahan lafaz taklik
Menurutnya, isteri perlu mengingati butiran penting seperti tarikh lafaz, kata-kata yang dilafazkan dan bentuk pelanggaran syarat taklik.
Semua itu perlu dilengkapkan dalam borang permohonan yang akan dinilai oleh hakim syarie.
Jika mahkamah mendapati lafaz taklik itu sah dan membawa kepada perceraian, maka talak akan disahkan.
Namun, jika tiada lafaz cerai atau taklik yang boleh disahkan, isteri masih boleh memohon perceraian biasa mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.
Asyraf (gambar kecil) menjelaskan bahawa isteri tidak perlu menunggu persetujuan suami sepenuhnya jika enggan memberikan kerjasama dalam proses penceraian.
Langkah-langkah perceraian biasa di mahkamah
Mengulas soal langkah penceraian biasa di mahkamah, Asyraf berkata, proses bermula dengan permohonan perceraian secara baik.
Jika suami enggan bercerai, mahkamah akan mengarahkan kedua-dua pihak menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP), yang dilaksanakan di pejabat agama bersama wakil keluarga masing-masing.
“Jika JKP gagal capai kata sepakat, kes akan dibawa ke peringkat Hakam sama ada Hakam Keluarga atau Hakam Mahkamah,” katanya.
Peringkat akhir, jika Hakam Mahkamah juga mendapati tiada ruang untuk berdamai dan isteri tetap mahu bercerai, wakil hakam akan diberikan kuasa oleh mahkamah untuk melafazkan cerai bagi pihak suami.
Menurut Asyraf, proses itu tetap boleh diteruskan meskipun suami enggan hadir ke mahkamah atau cuba mengelak daripada menerima dokumen saman.
“Isteri hanya perlu pastikan serahan dokumen dibuat di hadapan suami. Jika suami enggan menandatangani penerimaan, ia tetap sah dengan syarat ada bukti serahan dan isteri membuat affidavit kepada mahkamah,” katanya.
Oleh itu, suami tidak boleh menggagalkan proses hanya kerana enggan hadir atau berdiam diri.
Suami boleh dikenakan tindakan
Sekiranya mahkamah mendapati lafaz taklik yang dibuat oleh suami sah dan jatuh talak, tindakan boleh diambil terhadap suami kerana melanggar undang-undang.
“Lafaz cerai atau taklik di luar mahkamah tanpa kebenaran adalah satu kesalahan. Suami boleh dikenakan denda atau hukuman penjara,” tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram