
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada Khamis berangkat menziarahi pusara Allahyarham Koperal Muhammad Faizal Abd Razak, 32, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuantan, Batang Kali, Selangor.
Allahyarham yang bertugas sebagai anggota Pengiring Bermotosikal Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim meninggal dunia pada Selasa selepas mengalami kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Istana Negara.
Baginda turut menghadiri majlis bacaan tahlil dan doa khas buat Allahyarham yang meninggalkan seorang balu, Puan Noratiqah Mohamad Sayuti serta tiga cahaya mata.
Sejurus selepas itu, Raja Permaisuri Agong meluangkan masa bersama keluarga Allahyarham di kediaman mereka di Desa Alam Ria, Batang Kali bagi menyantuni balu dan menzahirkan ucapan takziah serta kata-kata semangat agar tabah menghadapi kehilangan insan tersayang.
Dalam kunjungan itu, Seri Paduka Baginda turut menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham, manakala Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor turut menghulurkan bantuan tunai, barangan keperluan sekolah dan set kelengkapan bayi.
Turut hadir, Puan Sri Datin Datuk Dr Hajah Noor Azizah Abdul Latif, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara serta pegawai-pegawai kanan Istana Negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram