'Apa yang ada di otaknya', warga maya kecam Puan Maharani tawar motosikal kepada ayah Affan Kurniawan supaya boleh terus kerja sebagai pemandu e-hailing


  • Sukses
  • Isnin, 01 Sep 2025

Puan Maharani menawarkan sebuah motosikal kepada bapa Allahyarham Affan Kurniawan untuk digunakan sebagai pemandu e-hailing.

TINDAKAN Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Puan Maharani menawarkan sebuah motosikal kepada bapa Allahyarham Affan Kurniawan untuk digunakan sebagai pemandu e-hailing selepas anaknya maut digilis kenderaan polis telah mencetuskan kemarahan orang ramai.

Affan, seorang pemandu motosikal e-hailing berusia 21 tahun dilaporkan meninggal dunia pada Khamis lalu selepas dilanggar dan digilis oleh sebuah kenderaan taktikal (rantis) Pasukan Briged Mobil (Brimob) ketika polis menyuraikan tunjuk perasaan berhampiran kawasan Parlimen di Jakarta. 

Kejadian itu dirakam dan tular, lalu mencetuskan bantahan meluas. 

Perhimpunan tersebut pada asalnya membantah elaun perumahan yang dianggap tinggi untuk ahli parlimen dan isu kos sara hidup serta pembiayaan pendidikan.

Tragedi Affan mencetuskan solidariti ratusan pemandu e-hailing dan mahasiswa di beberapa bandar termasuk berhimpun di hadapan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Sumatera Utara, Indonesia sebagai tanda bantahan dan tuntutan keadilan.

BACA LAGI: Ibu bengang puting di mulut bayi kena tampal 'salotape', padahal pengasuh minta bayaran mahal

BACA LAGI: [VIDEO] Bina rumah Orang Asli di Perak dalam masa 3 hari, Ninie, 30 sukarelawan sempurna misi bulan kebangsaan

Namun, lawatan Puan Maharani ke rumah keluarga arwah pada Sabtu menimbulkan kontroversi apabila beliau hanya menawarkan sebuah motosikal kepada bapa Affan. 

“Disebabkan bapanya juga bekerja sebagai pemandu e-hailing motosikal, saya tawarkan sebuah motosikal supaya dia ada kemudahan,” katanya.

Beliau turut meminta Gabenor Jakarta membantu menyediakan sokongan pendidikan untuk adik-beradik Allahyarham serta peluang pekerjaan pada masa depan.

Namun, tawaran itu dianggap memalukan dan tidak sensitif, seolah-olah nyawa Affan boleh ditebus hanya dengan sebuah motosikal.

Di media sosial, ramai memberi respons negatif berkait langkah yang diambil Puan Maharani berkait isu itu. 

“Hai Puan, ayah Affan kehilangan anak, bukan motosikal. Kenapa beri dia motosikal supaya boleh terus jadi pemandu ojek?," tulis Xoleriyaaa.

“Apa yang ada di otaknya,” kata Remahaniss.

“Orang cuma mahu keadilan, bukan diganti dengan barang,” ujar Binazdimsum31.

“Yang meninggal anaknya, bukan motosikalnya,” tegas Hanakoluminara02.

“Ha? Serius hadiahkan motosikal sahaja? Tak habis fikir!,” tulis Dowfasol.

“Kenapa orang macam ni boleh jadi ketua,” soal User751412083.

Walaupun Puan menegaskan bahawa DPR komited untuk mendengar aspirasi rakyat, warga maya berpendapat isu utama adalah menuntut keadilan atas kematian Affan bukan sekadar mengganti dengan pemberian material.

Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo sebelum ini sudah tampil memohon maaf secara terbuka dan berjanji bertanggungjawab atas kejadian itu.

Namun, bagi masyarakat, kemarahan mereka tidak akan reda hanya dengan permohonan maaf atau pemberian motosikal.

Sebaliknya, mereka mahu penyiasatan penuh dijalankan dan pihak yang terlibat dipertanggungjawabkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram