Pentingnya proses pulihara bangunan kolonial supaya generasi akan datang terus hargai sejarah


  • Hias
  • Isnin, 01 Sep 2025

Bangunan Sultan Abdul Samad kekal sebagai mercu tanda warisan seni bina kolonial yang menjadi simbol sejarah negara.

JIKA dilihat pada landskap Kuala Lumpur hari ini, deretan bangunan pencakar langit seperti KLCC dan Merdeka 118 berdiri megah sebagai simbol kejayaan negara.

Namun, jauh di sudut kota, masih tersisa bangunan kolonial yang menjadi saksi bisu perjalanan Tanah Melayu menuju kemerdekaan.

Salah satu aspek sering kali kurang diberi perhatian, tetapi sarat dengan nilai sejarah ialah seni bina

BACA LAGI: [VIDEO] Remaja 13 tahun bina sarang lebah 3D cetakan sendiri dalam bilik tidur

BACA LAGI: Dunia semakin panas, ancaman jangka panjang buat kanak-kanak dan warga emas

Bangunan-bangunan kolonial ini bukan sekadar struktur batu-bata, tetapi catatan fizikal zaman penjajahan yang sarat dengan nilai estetik, budaya dan sejarah.

Menurut Muhammad Fauzie Ismadi, Pengasas ASTANABETA, sebuah syarikat renovasi dan rekaan dalaman, memahami seni bina kolonial bererti menghargai identiti bangsa yang dibina sebelum dan pasca merdeka.

"Bangunan kolonial adalah saksi perjuangan. Ia menyimpan sejarah dari era Inggeris, Jepun, hingga ke zaman kemerdekaan.

"Jika ia dihapuskan, generasi akan datang tidak kenal akar sejarah mereka," katanya kepada Majoriti.

Fauzie (tengah) bersama dua pembantunya Basyir Husni (kiri) dan Nur Atiqah Dini di ASTANABETA.

Perbezaan paling ketara antara rumah kolonial dan seni bina tradisional Melayu terletak pada penggunaan material.

Jika rumah kampung tradisional banyak bergantung pada kayu, bangunan kolonial pula dibina menggunakan batu-bata yang kukuh.

"Struktur batu-bata itu sendiri adalah lambang kehebatan dan kekuasaan penjajah. Mereka mahu bangunan kelihatan gah, simetri dan besar sebagai simbol status serta dominasi," jelas Fauzie.

Bukan itu sahaja, seni bina kolonial turut menonjolkan elemen seperti tiang berukir, tingkap besar, serta siling tinggi semuanya bertujuan mewujudkan rasa megah dan menonjolkan lifestyle golongan pemerintah.

Kota A Famosa adalah sebuah kota yang telah dibina pada 1511 menggunakan buruh-buruh paksaan sewaktu di bawah taklukan Portugis.

Walaupun sering dikaitkan dengan trauma penjajahan, Fauzie menegaskan bahawa elemen kolonial tidak harus dipadamkan, sebaliknya dipulihara dan disesuaikan dengan kegunaan semasa.

"Bangunan kolonial memiliki nilai seni yang tinggi seperti ukiran, kolam, mosaic, bahkan landskapnya.

"Hari ini kita boleh adaptasi elemen itu untuk muzium, galeri, restoran atau hotel. Ia bukan saja mengekalkan identiti, tetapi juga menarik pelancongan dan menjana ekonomi,” katanya sambil merujuk kepada contoh Bangunan Sultan Abdul Samad yang kekal menjadi tarikan utama ibu kota.

Bangunan Sultan Suleiman Shah adalah sebuah bangunan warisan kebangsaan yang dibina pada 1909 dengan reka bentuk kolonial, dibina oleh arkitek bernama A.B. Hubback.

Menurut Fauzie, cara terbaik menggabungkan unsur moden dengan kolonial ialah dengan mengekalkan fasad asal sambil menaiktaraf bahagian dalaman.

"Fasad adalah wajah sejarah, jangan diubah. Apa yang boleh dilakukan ialah pengubahsuaian dalaman seperti kabinet, pencahayaan LED dan kemasan minimalis. Ia memberi nafas moden tanpa menjejaskan nilai warisan," jelasnya.

Beliau turut menyebut contoh Kedah Digital Library, bangunan kolonial yang kini diubahsuai menjadi perpustakaan digital sepenuhnya, tetapi masih mengekalkan ciri klasiknya.

Namun, Fauzie tidak menafikan bahawa memulihara bangunan kolonial dan rumah lama memerlukan kos tinggi kerana faktor usia dan material.

"Bangunan ratusan tahun ini biasanya di bawah seliaan Jabatan Warisan atau Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Pemilik harus sanggup melabur kerana nilainya tidak ternilai.

"Untuk rumah kayu pula, penjagaan berterusan penting seperti tukar kayu reput, rawat dengan shellac, dan lindungi daripada cuaca lembap,” katanya.

Bagi Fauzie, mengekalkan bangunan kolonial bukan bermakna menyanjung penjajah, tetapi menghargai sejarah evolusi seni bina negara.

"Bangunan-bangunan ini adalah saksi perjuangan kemerdekaan. Ada rumah yang menjadi lokasi perbincangan tokoh kemerdekaan, ada yang pernah dihuni pentadbiran Jepun atau Inggeris. Itu semua adalah tapak sejarah yang kita mesti jaga," tegasnya.

Rumah Putih adalah sebuah bangunan bersejarah yang dibina pada tahun 1912 oleh B.P. Habbach.

Sebagai Pengasas ASTANABETA, Fauzie percaya pemuliharaan bangunan lama harus dilakukan oleh pakar.

Syarikatnya yang ditubuhkan pada 2023 bukan sahaja menawarkan renovasi kediaman dan pejabat, tetapi juga kepakaran dalam arkitektur, reka bentuk dalaman, landskap dan pembuatan kabinet.

"Kalau pemilik keliru, rujuklah pada arkitek dan kontraktor berpengalaman. Kami di ASTANABETA sedia memberi konsultasi bagaimana mengekalkan nilai sejarah dalam bangunan sambil memenuhi citarasa moden," katanya.

Kellie’s Castle adalah sebuah bangunan bersejarah yang dibina oleh seorang pengusaha ladang dari Scotland, William Kellie Smith pada 1915.

Hari ini, Kuala Lumpur berdiri sebagai metropolis moden dengan mercu tanda global.

Namun, Fauzie mengingatkan bahawa kehebatan seni bina kontemporari tidak mungkin tercapai tanpa jejak kolonial yang pernah mengajar tanah air tentang teknologi binaan batu-bata, simetri dan struktur megah.

"Daripada kolonial kita belajar, daripada tradisional kita berakar. Kedua-duanya melahirkan identiti seni bina Malaysia hari ini, unik, berbilang dan terus berevolusi," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram