
BAGI sesetengah wanita hamil, rasa letih dan perubahan fizikal sering membuatkan mereka kurang berminat untuk berdandan atau tampil bergaya.
Namun, keadaan itu tidak berlaku kepada pelakon jelita, Siti Saleha.
Meski sudah memasuki trimester kedua, Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd Baharum, 35, tetap rajin berhias dan menjaga penampilan kerana menganggap ia sebahagian daripada dirinya.
BACA LAGI: Anak tolak makan sayur bukan tanda anda ibu bapa gagal, 5 cara reset semula selera si manja
“Setakat ini, saya tak ada sampai tahap malas bersiap lagi. Saya masih lagi mahu menjaga penampilan kerana saya memang suka berdandan.
"Malah selepas tamat penggambaran, saya ada lebih banyak masa lapang untuk hadir ke acara,” katanya ketika ditemui Majoriti baru-baru ini.
Tambah beliau, meski tidak mengalami alahan, keletihan tetap dirasai hampir setiap hari, tetapi ia tidak pernah menjadi alasan untuk mengabaikan penampilan mahupun menyertai aktiviti sosial.
Selepas mengambil keputusan bercuti bagi memberi tumpuan kepada keluarga, kesihatan dan kandungan, isteri kepada pereka fesyen, Joshua Fitton itu kini mengambil peluang untuk terus aktif dengan menghadiri acara serta melakukan senaman ringan selagi mendapat kebenaran doktor.
Malah, bintang drama 7 Hari Mencintaiku (2016) itu juga merancang untuk bercuti sebelum memasuki trimester ketiga bagi mengisi masa lapang.
“Saya cuba kekal aktif selagi doktor kata semuanya baik. Sekarang pun saya banyak berjalan, bercuti dan ambil peluang untuk babymoon,” katanya yang menyifatkan sokongan suaminya sangat membantu sepanjang fasa kehamilan.
Lebih menarik, biarpun kandungan sudah berusia kira-kira enam bulan, beliau masih belum mengalami sebarang keinginan sepanjang kehamilan.
Sebaliknya, beliau hanya makan mengikut selera harian.
"Saya tidak mengidam sesuatu yang khusus. Saya hanya mahu makan apa yang saya mahu pada hari itu," ujarnya.
Julai lalu, beliau mengumumkan kehamilannya menerusi hantaran di Instagram beliau.
Video berkenaan dirakam ketika Saleha dan suaminya berada di Bali, Indonesia.
Pasangan tersebut diijabkabulkan dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang Februari lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram