
MESKIPUN berdepan pelbagai halangan termasuk sekatan dan ancaman, usaha membantu rakyat Gaza tetap giat diteruskan.
Menjadi antara yang aktif menghulurkan bantuan, Dr. Mohanad Kullab merupakan wakil dari Malaysia menerusi misi kemanusiaan diasaskan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Yayasan Nurjiwa di Gaza.
Pensyarah dan aktivis itu turut berkongsi pengalamannya sepanjang menetap di Malaysia selama 10 tahun sebelum kembali ke bumi Gaza.
Beliau menggambarkan negara ini bukan sekadar tempat berlindung, malah sebagai rumah kedua buatnya yang penuh kasih sayang.
Bersempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68, Dr. Mohanad berkesempatan memberi penghormatan kepada Malaysia menerusi ucapannya di bumi Gaza.
"Ia bukan sekadar perjalanan, tetapi kisah cinta yang terpahat di jiwa.
"Terima kasih Malaysia kerana mengajar erti persahabatan, kasih sayang dan keindahan hidup yang tidak akan pernah saya lupakan," tulisnya di Instagram pada Sabtu.
Beliau dan pasukannya juga memastikan al-Quran menjadi sebahagian daripada aktiviti warga Palestin.
Sebagai wakil Yayasan Nurjiwa, Dr. Mohanad memainkan peranan penting dalam menyelaras bantuan kemanusiaan yang disalurkan dari Malaysia ke Gaza termasuk sumbangan perubatan, pendidikan dan makanan asas kepada keluarga yang terjejas akibat konflik berpanjangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram