
JENAMA fesyen mewah dari Jerman, Aigner memperkenalkan koleksi terbaharu beg Portami di pasaran Malaysia menerusi acara pelancaran di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Koleksi tersebut menandakan kemunculan pertama Portami di Malaysia, sekali gus memperkukuh kehadiran Aigner di pasaran Asia.
Diperkenalkan buat pertama kali pada pentas peragaan musim bunga/panas 2015 sempena ulang tahun ke-50 Aigner, motif cetakan ikonik Mosaico kini kembali selepas sedekad.
(Dari kiri) Nia Atasha, Eika Azam dan Whulandary Herman melengkapi barisan selebriti yang menyerikan kempen Aigner Portami.
Kali ini ia dihidupkan semula dalam rona Burgundy dan Port Red yang menjadi identiti khas jenama.
Direka daripada kanvas bercorak yang dipadankan dengan kemasan kulit lembu asli berkualiti, beg Portami ditawarkan dalam tiga saiz berbeza bagi memenuhi gaya hidup wanita pelbagai peringkat.
Seiring dengan maksud namanya dari bahasa Itali, iaitu 'temani aku', beg itu digambarkan sebagai teman setia untuk kegunaan harian, sama ada ke pejabat, acara sosial atau ketika bersantai.
Acara pelancarannya turut diserikan dengan kehadiran supermodel Amber Chia dan pelakon Siti Saleha yang tampil anggun menggayakan beg Portami.
Sementara itu, kempen Portami turut menampilkan beberapa personaliti lain seperti pelakon Nadia Brian, Whulandary Herman serta pempengaruh Eika Azam, Nia Atasha dan Zenia Fatale.
Kesemua mereka dipilih kerana mewakili ciri wanita moden yang berkeyakinan, autentik dan versatil seiring dengan imej yang dibawa Aigner.
Menurut Aigner, setiap personaliti dalam kempen ini menerima beg yang disesuaikan khas bagi menonjolkan keunikan gaya masing-masing.
Koleksi beg Portami kini boleh didapati di semua butik Aigner serta secara dalam talian, di bawah naungan pengedar rasmi, The Melium Group. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram