[VIDEO] 'Souvenir' paling mahal', ayah korban masa, tenaga hasilkan 600 lukisan untuk majlis kahwin anak


  • Cinta
  • Isnin, 01 Sep 2025

Siswanto (kanan) sanggup menyiapkan sendiri 600 buah lukisan sebagai cenderahati perkahwinan anaknya baru-baru ini.

CINTA seorang ayah sering kali tidak diungkapkan dengan kata-kata, sebaliknya hadir dalam bentuk pengorbanan.

Begitulah kisah seorang bapa, Siswanto yang sanggup menyiapkan sendiri 600 buah lukisan sebagai cenderahati perkahwinan anaknya baru-baru ini, sekali gus membuktikan betapa kasih sayang tiada tandingan.

Jika kebiasaannya souvenir perkahwinan ditempah daripada vendor, lelaki yang bergelar bekas guru itu memilih untuk menghasilkan sendiri sebagai tanda istimewa buat anaknya.

BACA LAGI: [VIDEO] Bina rumah Orang Asli di Perak dalam masa 3 hari, Ninie, 30 sukarelawan sempurna misi bulan kebangsaan

BACA LAGI: Ambil iktibar kisah benar filem Norma: Antara Mertua dan Menantu, rumah tangga hancur dikhianati perselingkuhan sesama keluarga

Antara lukisan dihasilkan Siswanto untuk perkahwinan anaknya.

Setiap helaian kayu triplek dipotong, dicat dan dilukis dengan penuh teliti sehigga menjadikan setiap satu hadiah eksklusif yang sarat dengan doa dan kasih buat si anak tercinta.

Kisah menyentuh hati itu tular selepas dikongsikan oleh anak perempuannya, Rtrwdyn dalam laman TikTok pada Khamis lepas.

Dalam rakaman tersebut, kelihatan si bapa tekun menyiapkan alas kayu yang dijadikan kanvas kecil, sambil dibantu oleh ahli keluarga lain.

Proses yang memakan masa tiga bulan itu akhirnya membuahkan hasil apabila kesemua 600 lukisan berjaya disiapkan sebelum tibanya hari bersejarah.

Lebih menakjubkan, setiap karya memiliki sentuhan berbeza iaitu ada yang bergambar bunga, pemandangan indah sehingga karakter unik seolah-olah setiap satunya menyimpan harapan tersendiri untuk rumah tangga anaknya.

Bagi warga maya, hasil tangan itu bukan sekadar cenderahati, tetapi simbol cinta seorang ayah yang sanggup mengorbankan masa dan tenaganya demi kebahagiaan insan tersayang.

“Setiap goresan tangan bapanya ada doa terselit. Semoga sakinah, mawaddah dan rahmah,” tulis Bundnyaazamaziz.

Malah, ada juga yang secara berseloroh mengingatkan menantu lelaki agar menghargai isterinya.

“Awas suaminya macam-macam! Itu anak perempuan sangat disayangi bapanya, effort bapanya luar biasa!” kata Umanyabilal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram