Ambil iktibar kisah benar filem Norma: Antara Mertua dan Menantu, rumah tangga hancur dikhianati perselingkuhan sesama keluarga


  • Cinta
  • Selasa, 19 Ogos 2025

Filem Indonesia Norma: Antara Mertua dan Menantu (kiri) yang mula ditayang di Netflix telah membuka mata banyak pihak mengenai jaga batasan hubungan dalam keluarga.

KISAH mentua bercinta dengan menantu mungkin kedengaran seperti jalan cerita drama semata-mata.

Namun hakikatnya, inilah kisah benar yang pernah terjadi dalam hidup seorang wanita bernama Norma Risma.

Kisah pilu itu diangkat ke layar perak melalui filem Indonesia berjudul Norma: Antara Mertua dan Menantu, arahan Guntur Soeharjanto yang kini mula ditayangkan di Netflix sehingga membuka mata banyak pihak.

BACA LAGI: Jambatan Galata 'port' ikonik pasangan pengantin rakam foto romantis, ditemani cahaya matahari terbenam

BACA LAGI: Noor Nabila dedah kos rawatan kulit wajah cecah RM140,000, cantik tanpa mekap juga perlu keluar modal

Filem berjudul Norma: Antara Mertua dan Menantu merupakan kisah benar yang pernah terjadi dalam hidup Norma Risma (dua dari kiri).

Naskhah arahan pengarah Guntur Soeharjanto itu dihasilkan oleh Dee Company dan diangkat daripada kisah benar Norma Risma yang pernah tular di laman TikTok pada penghujung 2022. 

Kisah tersebut mengejutkan ramai apabila mendedahkan pengkhianatan seorang suami dan ibu mentua yang meruntuhkan institusi keluarga.

Filem berdurasi lebih dua jam itu menampilkan Tissa Biani sebagai Norma, seorang wanita pemalu yang bahagian menjalani kehidupan bersama suami tercinta, Irfan (Yusuf Mahardika). 

Dari luar, perkahwinan mereka kelihatan harmoni, malah hubungan Irfan dengan keluarga Norma juga amat rapat.

Namun, kebahagiaan itu musnah apabila ibu Norma, Rina (lakonan Wulan Guritno) menjalinkan hubungan terlarang dengan menantu sendiri. 

Pengkhianatan berganda itu bukan sahaja memusnahkan rumah tangga Norma, malah rumah tangga ibu dan bapanya sekali gus.

Norma Risma sendiri memberi kebenaran kepada syarikat produksi untuk menterjemahkan kisah hidupnya ke layar perak, selain turut terlibat dalam penulisan skrip bersama penulis prolifik Oka Aurora.

Dalam dunia realiti, Rihanah Anah yang sebelum ini dikecam hebat akhirnya tampil menzahirkan penyesalan.

“Astaghfirullah, saya bertaubat kepada ALLAH. Mohon masyarakat tidak lagi membicarakan perkara ini. Saya sangat tertekan,” katanya menerusi sebuah rakaman video tular.

Lebih daripada sekadar hiburan, kisah itu membawa pengajaran besar tentang pentingnya menjaga sempadan dalam keluarga dan peranan setiap ahli untuk memelihara maruah rumah tangga.

Salah seorang penonton, Safura menyifatkan filem itu sebagai peringatan buat pasangan muda.

“Kalau sudah berkahwin, lebih baik tinggal di rumah sendiri daripada bersama keluarga besar,” ujar Safura yang melihat filem itu sebagai peringatan.

Warga maya, Amir Roslan pula menekankan soal tanggungjawab dan batas pergaulan.

“Menantu atau mentua sekalipun, tetap perlu ada batas. Jangan sekali-kali anggap hubungan keluarga bebas tanpa kawalan," katanya. 

Bagi Amaliaizzatiah, kisah itu membuktikan perlunya menjaga jarak yang sihat antara menantu dan mentua.

“Ada baiknya wujud jarak tertentu supaya hubungan kekeluargaan tidak menimbulkan salah faham,” katanya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram