
INDONESIA kini berdepan krisis paling genting sepanjang 10 bulan pemerintahan Presiden Prabowo Subianto, apabila gelombang protes rakyat bertukar menjadi tragedi berdarah yang meragut sekurang-kurangnya empat nyawa termasuk seorang remaja, Affan Kurniawan.
Pemergian lelaki berusia 21 tahun itu disahkan pada 28 Ogos sehingga mengundang kesedihan ramai pihak.
Dalam hantaran di laman Instagram, penyanyi tersohor, Krisdayanti tampil menzahirkan ucapan takziah.
“Turut berduka cita atas meninggalnya ananda Affan Kurniawan. Semoga amal ibadah almarhum diterima di sisi-Nya,” tulis beliau.
BACA LAGI: Boleh ke suami letak nama isteri kedua untuk hibah, alasan bimbang rumah tangga tak bertahan lama?
Krisdayanti turut merakamkan simpati terhadap korban lain yang ditemui meninggal dunia di dalam bangunan DPRD Makassar iaitu Abay, jurufoto Bahagian Humas; Sarina, staf DPRD; Syaiful, pegawai kecamatan; dan Budi Haryadi Saputra, anggota Satpol PP.
Keempat-empat mereka berstatus Aparatur Sipil Negara (ASN).
Tragedi itu berlaku di tengah kebangkitan gelombang protes yang tercetus selepas kematian seorang pekerja penghantaran.
Insiden itu membangkitkan kemarahan warga sipil dan mencetuskan demonstrasi besar-besaran di pelbagai wilayah.
Sebagai ekonomi terbesar Asia Tenggara, Indonesia sudah lama berdepan rasa tidak puas hati rakyat berhubung isu ketidaksamarataan ekonomi serta keistimewaan kewangan ahli parlimen.
Namun, protes kali ini menandakan krisis sosial paling mencabar dalam pentadbiran Prabowo iaitu gelombang penentangan rakyat yang melangkaui isu politik semata-mata.
Dalam hantaran lain, penyanyi Bunga Citra Lestari (BCL) pula memberi peringatan agar perjuangan rakyat tidak diseleweng pihak berkepentingan.
“Jangan beri ruang bagi pihak-pihak lain untuk mengkambinghitamkan gerakan sipil. Kemarahan warga sipil sangat bisa dimengerti, namun penjarahan dan perampasan properti bukan solusi,” katanya.
BCL menegaskan, pengorbanan rakyat yang sudah dibayar dengan darah, keringat, air mata bahkan nyawa tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membungkam suara mereka semula.
Kini, dengan korban jiwa yang terus meningkat dan protes semakin meluas, pentadbiran Prabowo bukan sahaja berdepan cabaran mengawal keamanan, tetapi juga mengembalikan keyakinan rakyat bahawa suara mereka benar-benar didengari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram