
BAGI jurulatih yoga terkenal, Ninie Ahmad, rasa cinta kepada negara tidak hanya dizahirkan dengan laungan merdeka, sebaliknya melalui tindakan membawa erti besar kepada kehidupan orang lain.
Sempena bulan kemerdekaan, Ninie memilih untuk meninggalkan keselesaan kota dan menyertai misi sukarelawan bersama Epic Homes, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berusaha membina rumah untuk masyarakat Orang Asli di pedalaman.
Projek kali ini dilaksanakan di Long Kinta, Perak dan lebih membanggakan apabila sebuah rumah yang bermula daripada tapak kosong berjaya disiapkan dalam tempoh tiga hari dengan bantuan lebih 30 sukarelawan.
“Membina rumah dari tiada apa-apa di kawasan pedalaman bukan tugas mudah. Letih, terbeban, sunburn… semua itu tidak mampu gambarkan pengalaman sebenar.
"Tetapi dengan 30 orang yang saya baru kenal, kami berjaya lakukannya,” kata Ninie dalam satu hantaran Instagram.
Menurut Ninie, kerja pembinaan bermula dengan pemasangan struktur, lantai dan bumbung pada hari pertama.
Hari kedua menumpukan kepada penyempurnaan bumbung dan pemasangan dinding, manakala hari ketiga menjadi detik paling bermakna apabila rumah baharu itu diserahkan kepada keluarga penerima, Long Kinta dan ahli keluarganya.
Melihat senyuman kegembiraan keluarga tersebut membuatkan segala kepenatan terbayar.
Bagi Ninie, pengalaman itu bukan sekadar aktiviti sukarelawan, sebaliknya satu penghargaan terhadap nilai kemanusiaan dan bukti semangat gotong-royong rakyat Malaysia masih utuh.
“Saya sedar saya lebih kuat daripada yang saya sangka dan keyakinan saya terhadap rakyat Malaysia serta nilai kemanusiaan kembali pulih. Pengalaman ini membuat saya rasa lebih bangga menjadi rakyat negara ini,” ujarnya.
Epic Homes menyasarkan pembinaan 100 rumah untuk masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman Malaysia sepanjang tahun ini.
Ninie pula menganggap penglibatan itu sebagai panggilan hati yang bukan sahaja menguji fizikal dan mental, tetapi juga menghidupkan kembali semangat patriotisme dalam dirinya.
“Kami bukan sekadar membina rumah, kami mencipta memori dan semangat untuk saling membantu. Ia mengajar saya bahawa Malaysia ini indah apabila rakyatnya bersatu,” katanya lagi.
Bagi Ninie, menamatkan misi ini ketika bulan kemerdekaan menjadikan pengalaman itu lebih bermakna.
Ia membuktikan bahawa rasa sayang kepada negara bukan hanya kata-kata, tetapi melalui tindakan yang membawa sinar kepada mereka yang memerlukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram