
SEORANG ibu meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa pengasuh anaknya bertindak keterlaluan dengan menampal mulut anak menggunakan pita pelekat (salotape) hanya kerana bayi itu menangis.
Menerusi laman Threads, wanita berkenaan, Nrsaidaaqilah memuat naik tangkap layar perbualan bersama pengasuh tersebut.
Dalam mesej itu, pengasuh berkenaan meminta maaf kerana menyalotep mulut anak dengan alasan mahu menenangkan tangisan bayi.
Nrsaidaaqilah berkata, sewaktu mengambil anaknya, beliau terkejut apabila mendapati pita pelekat masih melekat pada mulut si kecil.
Katanya lagi, meskipun hanya menghantar anak selama lapan hari, pengasuh itu menuntut bayaran RM350 iaitu jumlah yang dianggap tidak berbaloi kerana caj bulanan penuh adalah RM500.
“Apa perasaan ibu bila tengok anak kena salotep mulut macam tu? Untuk lapan hari jaga dah minta RM350, sedangkan anak saya dilayan begitu. Saya memang takkan hantar lagi kepada pengasuh tu,” katanya.
Perkongsian itu mencetuskan kemarahan ramai pengguna media sosial yang rata-ratanya mengecam tindakan pengasuh berkenaan.
Seorang pengguna, Pieyysani menasihatkan agar ibu terbabit tidak membayar penuh jumlah yang diminta.
“Cakap je pada dia, sebab awak salotep mulut anak saya, saya akan kurangkan bayaran. Kalau tak terima, itu urusan awak. Jangan sampai saya buat laporan polis,” katanya.
Manakala seorang lagi, Nonie turut meluahkan kebimbangan tentang risiko keselamatan bayi.
“Kalau budak tersedak susu macam mana? Tak masuk akal nak salotep puting dekat mulut,” soalnya.
Pengguna lain, Nana Yunos pula memberi pandangan dari sudut perjanjian pembayaran antara ibu bapa dan pengasuh.
“Biasanya kalau hantar kurang 10 hari, pengasuh akan caj ikut kadar harian, sekitar RM50 sehari. Sebab itu penting untuk buat perjanjian hitam putih supaya jelas di awal,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram