Hobi mahal pelihara macaw bawa rezeki, pembuat roti jana duit tepi latih burung eksotik ‘freefly’


  • Bisnes
  • Isnin, 01 Sep 2025

Proses melepaskan burung terbang bebas dikenali sebagai 'freefly'.

APA yang bermula sebagai hobi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lima tahun lalu kini menjadi sumber pendapatan sampingan buat pembuat roti, Abd Raziq Abd Rahman, yang memelihara burung kakak tua eksotik jenis macaw.

Bagi lelaki berusia 27 tahun itu, sifat manja dan warna bulu yang menarik adalah antara sebab golongan muda sepertinya memilih untuk memelihara burung tersebut sebagai haiwan peliharaan.

BACA LAGI: Hasilkan baju Puteri Perak, Minangkabau, lelaki dari Nilai sanggup berhabis ribuan ringgit demi koleksi Semanis Merdeka

BACA LAGI: Manik Sarawak cetus minat bekas auditor dari Rawang hasilkan aksesori artisan berjiwa merdeka

Baker Abd Raziq Abd Rahman, 27, training his macaw parrot.

Abd Raziq berkata, burung macaw memerlukan perhatian yang tinggi.

“Saya ada dua ekor macaw dan ia memberi kepuasan yang sangat besar kepada saya.

“Pada masa sama, saya juga membantu melatih burung macaw milik kawan-kawan, dan dari situlah saya memperoleh pendapatan sampingan.

“Ia dikenali sebagai ‘freefly’, iaitu proses melepaskan burung terbang bebas sebelum ia kembali kepada saya sebagai jurulatihnya,” kata Abd Raziq.

Abd Raziq mengakui bahawa memelihara burung eksotik seperti ini adalah hobi yang mahal, dengan harga seekor burung bermula sekitar RM5,000.

Itu belum termasuk kos penjagaan bulanan.

“Perbelanjaan makanan dan penyelenggaraan kira-kira RM500 sebulan, bergantung kepada jenis dan saiz macaw.

“Burung peliharaan saya daripada spesies blue and gold macaw, yang biasanya dibeli pada harga antara RM7,000 hingga RM9,000.

“Saya juga mempunyai lesen sah daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk memeliharanya secara sah,” kata Abd Raziq yang bekerja sebagai pembuat roti di Singapura.

Menurutnya, burung macaw memerlukan perhatian yang tinggi.

“Pemilik perlu meluangkan masa yang mencukupi dengan burung peliharaan masing-masing untuk mengelakkan tekanan.

“Jika tertekan, bulu burung boleh gugur.

“Burung ini juga boleh menjadi sangat bising, yang kadangkala mengganggu jiran-jiran.

“Sebab itulah saya amalkan latihan freefly, yang mana saya lepaskan mereka terbang di ruang terbuka sebelum kembali kepada saya. Ia membantu mereka kekal gembira dan sihat,” jelasnya.

Baker Abd Raziq Abd Rahman, 27, training his macaw parrot.

Abd Raziq memperoleh pendapatan sampingan dengan membantu melatih burung macaw milik kawan-kawannya. 

Abd Raziq berkata, dia mampu meneruskan hobi itu berkat sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan.

“Saya dahulu aktif dalam komuniti Southern Freefly dan pernah melihat ramai yang menyertai kumpulan itu untuk mendalami hobi memelihara macaw.

"Namun kini saya kurang aktif kerana komitmen kerja,” katanya.

Sementara itu, Lee Boon Kiam, pemilik kedai burung kakak tua di Pasir Gudang, Johor berkata, mereka yang berminat untuk memelihara macaw perlu terlebih dahulu mempelajari pengetahuan asas tentang penjagaannya.

“Sebagai penjual dan pembiak burung, saya akan memberi panduan kepada pembeli mengenai diet yang sesuai seperti buah-buahan dan pelet makanan khas.

“Saya juga akan ajar cara untuk membina ikatan dengan burung macaw, kerana jika pemilik tidak rapat dengan haiwan peliharaan mereka, burung boleh mengalami tekanan.

“Tekanan boleh menyebabkan bulu tercabut, hilang selera makan malah boleh jatuh sakit,” katanya.

Lee turut mengingatkan orang ramai bahawa permit daripada Perhilitan diperlukan untuk memelihara burung macaw, dan menasihati supaya berhati-hati dengan pihak tidak bertanggungjawab yang menjual burung tersebut secara haram atas talian.

“Permohonan lesen boleh dibuat secara dalam talian, dengan bayaran RM10 setahun untuk lesen dan tambahan RM20 untuk permit khas memelihara burung.

“Namun begitu, masih ramai pihak tidak bertanggungjawab yang menjual macaw tanpa lesen secara haram, yang menjejaskan perniagaan sah kedai haiwan eksotik,” katanya. — The Star/ MYSARA FAUZI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram