[VIDEO] Penyatuan 2 jiwa pada 31 Ogos, busana merah Jalur Gemilang jadi pilihan


  • Cinta
  • Rabu, 27 Ogos 2025

Siti Nur Mashitah Roslan membuat keputusan untuk berkahwin dengan cinta hatinya, Muhammad Zuhairi pada 31 Ogos 2024. 

JIKA hari kebangsaan menjadi simbol kebebasan negara, tarikh keramat ini juga menjadi saksi penyatuan cinta dua hati.

Bagi pasangan Siti Nur Mashitah Roslan dan Muhammad Zuhairi Abdul Rasid, 31 Ogos 2024 bukan sekadar Hari Kebangsaan, tetapi juga tarikh mereka mengikat janji sehidup semati.

Lebih indah, tarikh tersebut turut menyimpan kisah peribadi yang manis iaitu ia merupakan ulang tahun kelahiran ibu Mashitah, selain tarikh merisik pasangan ini.

“Sebenarnya tak dirancang. Saya jemput keluarga mentua makan sempena hari lahir mama, tapi ketika itulah keluarga kedua-dua pihak terus setuju tetapkan tarikh pertunangan. 

"Saya dan suami pun terkejut, langsung tak sangka,” kata Mashitah kepada Majoriti.

BACA LAGI: Wanita sedih suami minta 'rehome' si bulus, mentua kurang selesa apabila berkunjung ke rumah

BACA LAGI: 'Baru 26 tahun, dah kena dialisis', akibat pengambilan gel detox selama berbulan-bulan, wanita kini hidap penyakit buah pinggang kronik

Siti Nur Mashitah Roslan memilih untuk berkahwin dengan Muhammad Zuhairi Abdul Rasid pada 31 Ogos 2024. 

Mengimbas kembali detik perkenalan, Mashitah berkata segalanya bermula secara tidak disangka melalui aplikasi Ome TV.

“Masa tu saya dengan kawan, dia pun sama. Dari situ suami minta nombor telefon. Kebetulan beberapa hari kemudian saya nak berangkat umrah. Dia (suami) tetap mesej saya walaupun saya malas nak layan. Orang Kedah kata, dia ‘pulonn’ tak pernah mengalah.

"Di Makkah saya berdoa moga ALLAH hadirkan jodoh yang tepat. Alhamdulillah, lepas sampai di Madinah saya tergerak hati untuk balas mesej dia. Selepas balik ke Malaysia, dia terus datang jumpa keluarga saya,” katanya. 

Tidak mahu hari bahagia berlalu tanpa sentuhan istimewa, Mashitah memilih warna busana pengantin yang diinspirasikan daripada Jalur Gemilang. 

Lebih menarik, Siti berkata, majlis bertandang mereka berlangsung pada 16 September, tepat jatuh Hari Malaysia.

“Baju pengantin kami salah satu warna bendera Malaysia. Kebetulan pula majlis bertandang jatuh Hari Malaysia. Memang jadi kenangan berganda,” katanya.

Wanita berusia 21 tahun itu berkata, kelebihan lain mengadakan majlis pada Hari Kebangsaan adalah tetamu tidak perlu risau soal cuti.

“Keluarga dan kawan-kawan suka sebab memang cuti umum. Kami pilih dewan supaya lebih luas dan selesa. Alhamdulillah majlis berjalan lancar,” katanya.

Ditanya harapan untuk rumah tangga mereka, Mashitah berharap agar rumah tangga mereka berkekalan sehingga ke akhir hayat. 

“Harapan kami, rumah tangga ini bebas daripada ‘dijajah’ orang ketiga. Semoga kekal hingga ke syurga,” katanya.

Mashitah turut menitipkan pesanan kepada pasangan yang bercadang bernikah pada tarikh 31 Ogos.

“Kalau nak tarikh hot macam ni, kena booking awal-awal. Jurugambar, jurusolek semua cepat penuh. Memang best kahwin 31 Ogos sebab tarikh ni penting untuk negara dan hubungan kita. Senang orang nak datang sebab cuti umum,” katanya.

Walaupun majlis berjalan sempurna, ada kenangan lucu yang tidak akan dilupakan pasangan ini.

“Pagi sebelum majlis, baju saya tak muat sebab butik terlebih kecilkan. Saya pun tak sempat cuba semula. Suami dengan sepupu kelam-kabut pergi alter baju sementara saya ke mekap.

"Lawak bila ingat balik, tapi Alhamdulillah semuanya selesai. Baju, pelamin, solekan semua jadi cantik pada akhirnya.

"Terima kasih suami dan sepupu yang berlari sana sini untuk pastikan saya nampak sempurna,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram