
SEMPENA sambutan Hari Kebangsaan, kita bukan sahaja meraikan kemerdekaan negara melalui Jalur Gemilang, tetapi juga menghargai warisan budaya yang menjadi identiti bangsa.
Salah satunya ialah tenunan tradisional yang bukan sahaja cantik dipandang, tetapi penuh dengan nilai sejarah, simbolik dan keunikan setiap negeri.
Tenunan tradisional Malaysia bukan sekadar kain, tetapi lambang identiti negeri dan warisan budaya yang unik.
Setiap negeri memiliki corak, teknik dan nilai simbolik tersendiri yang menjadikan tenunan ini istimewa.
Untuk memahami keunikan setiap negeri, mari kita lihat lebih dekat jenis tenunan yang menjadi simbol identiti dan warisan budaya mereka.
Songket Muar dengan corak bunga renek halus, identiti tenunan Johor yang menonjolkan ketelitian dan kemahiran pembuat tradisional. — Media sosial
1. Johor: Corak Muar berbunga renek
Tenunan Johor menonjolkan corak bunga renek yang yang disulam dengan benang emas atau perak.
Kain ini biasanya berbentuk berkotak dengan motif bunga halus di antara kotak-kotak tersebut menjadikannya identiti tenunan negeri Johor.
Ia sering digunakan dalam majlis rasmi, perkahwinan tradisional dan acara kebesaran negeri.
Corak bunga renek ini menjadi identiti negeri yang menandakan ketelitian dan kreativiti penenun serta simbol kebanggaan rakyat Johor terhadap warisan budaya mereka.
Tenun Pahang Diraja menampilkan corak jalur, mendatar dan menegak hasil teknik ikat. — Instagram/@pknptenunpahangsoi
2. Pahang: Tenun Pahang Diraja
Tenun Pahang Diraja terkenal dengan teknik ikat yang menghasilkan corak jalur, mendatar dan menegak.
Proses ikat ini melibatkan pengikatan benang sebelum ditenun supaya corak dapat kekal simetri dan jelas.
Dahulu, kain ini khusus untuk kerabat diraja, tetapi kini diwarisi oleh masyarakat Pahang sebagai simbol identiti dan warisan negeri.
Tenun tradisional Terengganu menampilkan motif flora serta geometri. — Media sosial
3. Terengganu: Songket Terengganu dan Ikat Limar
Terengganu menonjol dengan dua jenis tenunan terkenal, iaitu Songket dan Ikat Limar.
Songket disulam dengan benang emas atau perak dan menampilkan motif flora serta geometri yang halus.
Ikat Limar pula menggunakan teknik ikat pakan, di mana benang diikat sebelum pewarnaan dan kemudian terhasil corak berulang yang unik.
Pua Kumbu etnik Iban, ditenun dengan benang kapas dan pewarna semula jadi, menampilkan motif Engkeramba dan Rang Jugah. — Arkib
4. Sarawak: Pua Kumbu
Pua Kumbu ialah kain tradisional buatan etnik Iban. Ia ditenun menggunakan benang kapas dan pewarna semula jadi seperti pokok engkudu (Morinda) untuk merah dan pokok tarum untuk biru.
Kain ditenun dengan alat sandang (back strap loom) menggunakan teknik ikat losong.
Motif terkenal termasuk Engkeramba dan Rang Jugah yang menggambarkan manusia dan ciri khas seperti sayap atau gigi tajam yang menjadi simbol keberanian.
Tenunan Mugah dan Siambitan dari suku Iranun di Kota Belud, Sabah, menonjolkan corak flora dan fauna yang mencerminkan kehidupan dan budaya tempatan. — Instagram/@muziumkrafkualalumpur
5. Sabah: Tenunan Mugah dan Siambitan
Tenunan Mugah dan Siambitan berasal dari suku kaum Iranun di Kota Belud, Sabah.
Kain ini dihasilkan menggunakan kek sandang belakang (back strap loom) atau Aulon dalam Bahasa Iranun.
Motif pada kainnya melambangkan kehidupan dan budaya masyarakat Iranun serta Bajau di Kota Belud itu yang diilhamkan daripada kegiatan harian mereka
Antaranya termasuk Anunan (daun sapar), Tuara (bunga), Daun Ubi, Tikar-tikar, Pinang Apat, Lipan-lipan dan Bunga Emas.
Songket Kelantan dengan pelbagai motif bunga, jalur dan pucuk rebung, disulam menggunakan benang emas atau kapas. — Media sosial
6. Kelantan: Songket Kelantan
Songket Kelantan menonjol dengan pelbagai motif seperti bunga penuh, bunga bertabur, jalur berdiri, jalur melintang, pucuk rebung dan tapak catur.
Motif ini diilhamkan daripada alam sekitar, tumbuh-tumbuhan dan geometri.
Kainnya disulam dengan benang emas atau kapas dan dipakai dalam majlis perkahwinan, upacara adat dan acara kebesaran negeri, menjadi simbol keanggunan dan identiti budaya Kelantan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram