[VIDEO] Isteri doktor, suami juruterbang sanggup LDR demi negara, jarak bukan penghalang


  • Cinta
  • Rabu, 27 Ogos 2025

Menurut Dr. Nur Diana (kanan), perkahwinan jarak jauh bukan mudah kerana kedua-duanya mempunyai jadual kerja padat, namun kepercayaan dan tanggungjawab menjadi tunjang kekuatan.

TIDAK ramai yang mampu mengekalkan rumah tangga dalam situasi berjauhan, apatah lagi apabila kedua-duanya memikul amanah besar untuk negara.

Namun, pasangan ini membuktikan bahawa cinta berlandaskan kepercayaan, komunikasi dan pengorbanan mampu bertahan walaupun diuji jarak dan masa, pendek kata menjalani hubungan jarak jauh (LDR).

Itulah kisah pegawai perubatan di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang, Dr. Nur Diana Afandi dan suami, Kapten Muhammad Syahmi Mohd Fauzi, juruterbang pesawat pejuang Hornet di bawah No. 18 Skuadron, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang kini bertugas di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya terkial-kial nak tarik dia', anak tantrum di hospital, syukur ada individu bantu, harap lebih ramai jururawat lelaki

BACA LAGI: 'Baru 26 tahun, dah kena dialisis', akibat pengambilan gel detox selama berbulan-bulan, wanita kini hidap penyakit buah pinggang kronik

Pasangan sama cantik sama padan itu mendirikan rumah tangga pada 2019.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2019 dan kini dikurniakan dua cahaya mata, Delisha Safiya, 5, dan Dareeq Sufi berusia setahun. 

Namun, tuntutan kerjaya menjadikan mereka sering berjauhan apabila Kapten Muhammad Syahmi ditempatkan di Pahang manakala Dr. Nur Diana pula menetap di Butterworth bersama anak-anak.

“Kata orang, apabila berkahwin dengan anggota tentera, kita juga berkahwin dengan kerjayanya.

"Namun, dalam kes kami, ia saling memahami kerana suami turut menghormati tuntutan kerja saya sebagai pegawai perubatan,” katanya kepada Majoriti.

Dr. Nur Diana berkata, menjalani perkahwinan jarak jauh bukan perkara mudah kerana kedua-duanya memiliki jadual kerja yang padat.

Beliau perlu bertugas atas panggilan (oncall) hingga enam kali sebulan, sekali gus memerlukan perancangan rapi setiap kali meninggalkan anak-anak.

“Ada masa mereka perlu tidur di taska dengan pengasuh malam, atau dihantar ke kampung sehari lebih awal.

"Selepas oncall 24 jam, saya tetap perlu kembali kepada peranan sebagai ibu dan isteri,” katanya.

Walaupun keadaan itu meletihkan, beliau menganggap cabaran tersebut sebagai sumber kekuatan kerana kedua-duanya saling menyokong dan memahami tugas masing-masing.

Makna perjuangan, kemerdekaan

Dalam semangat Hari Kebangsaan, Dr. Nur Diana menganggap perjuangan sebagai pengorbanan dalam memikul dua amanah besar iaitu sebagai seorang ibu dan isteri di rumah serta pegawai perubatan di hospital.

“Ia memerlukan kekuatan mental, emosi dan fizikal kerana saya perlu menyeimbangkan dua peranan yang sama penting.

"Sebagai doktor, perjuangan bukan hanya di hospital, tetapi juga mendidik masyarakat tentang kesihatan wanita,” katanya.

Beliau turut menekankan, wanita adalah simbol kekuatan yang bukan sahaja menahan kesakitan ketika melahirkan, malah cekal mengurus kehidupan harian walaupun diuji cabaran.

Antara pengalaman paling mencabar adalah ketika beliau hamil 36 minggu dan suami perlu menjalani kursus Fighter Lead-In Training (FLIT) di Ontario, Kanada.

“Saya menanti kelahiran anak sulung seorang diri dengan bantuan keluarga terdekat. Suami hanya sempat pulang selepas anak berusia lapan bulan.

"Selepas kelahiran anak kedua pula, beliau terpaksa mengikuti latihan sebulan di Darwin, Australia, ketika saya baru kembali bertugas,” katanya.

Penampilan suami isteri, anggun dan segak sewaktu menghadiri Majlis Makan Malam Beradat di Wisma Perwira Pangkalan Udara Butterworth. 

Walaupun sering berjauhan, Kapten Muhammad Syahmi tidak pernah mengabaikan tanggungjawab.

“Beliau memastikan semua keperluan kami lengkap sebelum berangkat dan berusaha hadir pada tarikh penting anak-anak,” tambahnya.

Pun demikian, Dr. Nur Diana menganggap cabaran terbesar mereka adalah dari sudut masa.

Ini disebabkan suaminya terikat dengan jadual penerbangan, manakala beliau pula sibuk di hospital. 

“Kami manfaatkan setiap hujung minggu yang ada untuk bertemu. Walaupun singkat, masa itu sangat berharga,” katanya.

Bagi wanita berusia 31 tahun itu, rahsia hubungan yang utuh bukan sekadar janji setia, tetapi usaha harian untuk menghargai peranan masing-masing.

“Suami tidak pernah gagal menghantar mesej setiap pagi untuk mendoakan urusan saya dan anak-anak. Setiap malam pula, saya akan melakukan panggilan video supaya anak-anak dapat berinteraksi dengan ayah mereka,” katanya.

Bagi Dr. Nur Diana, kemerdekaan adalah kebebasan untuk berperanan dalam ruang berbeza, tetapi saling melengkapi.

"Sebagai isteri, saya 'merdeka' apabila dapat menjadi pendamping setia walaupun diuji jarak.

"Sebagai doktor, kemerdekaan ialah peluang berkhidmat kepada bangsa dan negara,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram