
SAAT berdepan ujian menjaga anak istimewa, bantuan daripada orang sekeliling menjadi penguat semangat buat seorang ibu, Ernie Lia, apabila anak lelakinya mengalami tantrum ketika mahu menjalani prosedur pemeriksaan di hospital.
Menerusi hantaran di laman Threads, Ernie memuat naik rakaman video yang menunjukkan anaknya dipegang beberapa individu lelaki ketika dalam perjalanan ke bilik pemeriksaan untuk menjalani imbasan electroencephalogram (EEG) kepala.
Ernie mengakui dirinya sukar mengawal keadaan kerana anaknya mengalami meltdown yang teruk.
“Waktu ni nak ke bilik EEG, anak saya memang dah meltdown dan tantrum. Saya sendiri terkial-kial nak tarik dia. Mujur ada lelaki yang datang bantu pegang anak saya. Anak syurga saya siap cubit dia. Terima kasih orang baik,” katanya.
BACA LAGI: Tidur lebih lama hujung minggu bantu kurangkan risiko sakit jantung hingga 20 peratus
Menurut Ernie, pemeriksaan itu perlu dilakukan susulan sejarah tumor otak yang dialami anaknya sebelum ini.
“EEG ni untuk pantau perkembangan otak dia,” katanya.
Dalam hantaran sama, Ernie turut berkongsi rakaman ketika anaknya terus meronta di atas katil sebaik EEG hendak dipasang.
“Dia marah dan tantrum sampai pasang EEG pun masih keadaan sama. Selalunya selepas pasang, saya akan naik ke katil untuk tenangkan dia. Tetapi waktu macam ni, kalau kita dekat memang kena terajang semua,” katanya.
Menjengah di ruangan komen, perkongsian tersebut dilihat menarik perhatian ramai ibu bapa yang memahami situasi sama.
Seorang ibu, Soimsisi turut berkongsi pengalaman hampir serupa ketika anaknya menjalani Magnetic Resonance Imaging (MRI).
“Sama pengalaman saya kena. Time my daughter nak kena buat MRI otak dia, merentan tantrum teruk sampai bengkak mata. Habis lunyai kudrat saya masa tu.
Soimsisi turut beranggapan perlunya lebih ramai jururawat lelaki di hospital untuk membantu menangani situasi kritikal melibatkan kanak-kanak tantrum atau pesakit yang memerlukan kekuatan fizikal.
"Bila benda macam ni jadi, saya selalu tertanya mana semua orang lelaki? Mana laki aku? Sambil nangis fikirkan hal anak. Yes, kita perlukan lebih ramai jururawat lelaki,” tulisnya.
Pengguna lain, Annnarhina pula berkongsi bagaimana anaknya pernah tercedera sehingga memerlukan beberapa orang dewasa untuk menahan.
“Anak saya pernah terbelah kulit. Nak jahit tak boleh sebab dia mengelupur. Lima orang dewasa pegang pun tak lepas. Last-last gamkan aje. Nasib la luka tu kecil,” katanya.
Ernie sendiri mengakui pernah berdepan situasi lebih mencabar.
“Anak saya dulu nak cucuk jarum sampai dekat lima ke enam jururawat pegang. Sampai tertendang jururawat. Nasib mereka faham,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram