[VIDEO] Jurutera perisian bergaya ala anime, padanan item fesyen 'bundle', DIY jadi tarikan


  • Gaya
  • Rabu, 27 Ogos 2025

Beliau banyak berkongsi rutin bersiapnya di akaun media sosialnya. — Instagram/@cukisnana

PERNAHKAH anda terfikir bagaimana jika gaya anime benar-benar wujud dalam kehidupan seharian?

Penampilan ceria berwarna-warni, reben besar, skirt berlapis dan aksesori yang banyak sering kali hanya dilihat di skrin animasi Jepun.

Namun, ada individu yang berani menjadikannya nyata dan disesuaikan dengan identiti sendiri.

BACA LAGI: 'Rambut sama hitam, hati lain-lain', Umie Aida elak cerita progres bisnes, kejayaan dengan orang lain

BACA LAGI: Cincin tunang Taylor Swift nilai lebih RM20 juta, umum bakal kahwin lepas 2 tahun bercinta

Di Malaysia, salah seorang daripadanya ialah Cukis Nana. Meskipun berhijab, namun ia tidak menghalangnya untuk bereksperimen dengan fesyen.

Mesra disapa Nana, beliau merupakan seorang jurutera perisian yang tampil berbeza dengan gaya ala anime.

Skirt berlapis, kasut chunky, aksesori serta padanan warna terang menjadi ciri utama fesyennya.

Lebih menarik, sebahagian pakaian digayakan dibeli di kedai pakaian terpakai atau bundle, manakala ada juga mempraktikkan konsep DIY (Do It Yorself).

Selain kerjayanya dalam bidang teknologi, beliau turut aktif sebagai live host dan sering berkongsi rutin bersiap ke tempat kerja atau ke acara tertentu di media sosialnya.

Namun, penampilannya yang berani tidak terlepas daripada komen negatif.

Dalam satu hantaran videonya di Instagram, gadis tersebut mendedahkan ada yang menggelarnya 'badak berendam' dan menyamakan bajunya seperti 'circus'.

Bukannya patah semangat, beliau malah memilih untuk memandang positif komen tersebut. Menurutnya, sesetengah orang menjadikan benci sebagai hobi.

"Proses menjadi matang ialah apabila kita sedar sebenarnya tidak ada sebab untuk kita terkesan dengan kebencian orang lain.

"Konsepnya mudah sahaja. Kita buat cara kita selagi tidak kacau hidup orang," jelasnya.

Beliau tidak menolak hakikat bahawa haters sentiasa wujud dan cuba menjatuhkan orang lain dengan pelbagai cara, termasuk mengganggu emosi.

Malah, beliau menerima gelaran 'badak berendam' dengan hati terbuka.

Haters tetap akan cuba mengganggu kita dengan pelbagai cara, kadang-kadang hanya untuk goyahkan emosi. Itu memang di luar kawalan kita.

"Tapi apa yang boleh kita kawal ialah perasaan terhadap diri sendiri. Jadi kalau ada yang panggil saya badak berendam, saya terima dengan bangga kerana bagi saya ia melambangkan kejujuran, kecantikan dan semangat untuk terus mengejar impian," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram