Gen Z tak suka berbelanja mewah ketika 'dating', peka soal kewangan — Kajian


  • Cinta
  • Rabu, 27 Ogos 2025

Gen Z semakin bijak dalam menguruskan kewangan termasuk dalam soal percintaan. — Gambar Hiasan

GENERASI Z (gen Z) semakin bijak dalam menguruskan kewangan termasuk dalam soal percintaan. 

Kajian Better Money Habits 2025 oleh Bank of America mendapati lebih separuh golongan gen Z berusia 18 hingga 28 tahun tidak membelanjakan sebarang wang untuk janji temu setiap bulan.

Daripada lebih 900 responden, 53 peratus lelaki dan 54 peratus wanita mengaku tidak berbelanja janji temu, sementara kira-kira satu perempat lagi hanya memperuntukkan kurang daripada RM420 sebulan (bersamaan AS$100).

BACA LAGI: Wanita sedih suami minta 'rehome' si bulus, mentua kurang selesa apabila berkunjung ke rumah

BACA LAGI: [VIDEO] Pasangan ditatang bagai minyak penuh, suami terkilan isteri dibelai doktor berstatus suami orang

Menariknya, trend itu bukan hanya berlaku kepada individu bujang. Bagi yang sudah berkahwin, sikap berjimat tetap diamalkan.

Sebanyak 43 peratus pasangan yang belum tinggal bersama dan 48 peratus pasangan tinggal sebumbung dilaporkan hanya membelanjakan antara RM4 hingga RM420 sebulan untuk janji temu.

Selain itu, kajian menunjukkan kira-kira satu daripada empat Gen Z sanggup menolak acara sosial dengan rakan demi mengekalkan bajet peribadi. 

Ini menonjolkan kesan kos sara hidup yang meningkat terhadap gaya hidup Gen Z.

Walaupun bajet mereka rendah, nilai kewangan menjadi faktor penting dalam pemilihan pasangan. 

Sebanyak 78 peratus responden menekankan tanggungjawab kewangan sebagai ciri utama dalam pasangan, manakala 70 peratus lagi mengutamakan sikap, tingkah laku dan kestabilan kewangan sebelum melangkah ke fasa hubungan yang lebih serius.

Kesimpulannya, cinta bagi gen Z bukan diukur melalui perbelanjaan mewah, tetapi melalui kejujuran, tanggungjawab kewangan dan kesediaan untuk membina hubungan yang seimbang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram