Tidur lebih lama hujung minggu bantu kurangkan risiko sakit jantung hingga 20 peratus


  • Sihat
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Tidur lebih lama pada hujung minggu boleh membantu melindungi jantung dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular sehingga 20 peratus. — Gambar Hiasan

TIDUR lebih lama pada hujung minggu boleh membantu melindungi jantung dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular sehingga 20 peratus.

Penemuan itu dibentangkan pada ESC Congress 2024 selepas penyelidik menganalisis data 90,903 peserta daripada projek UK Biobank. 

Corak tidur direkodkan menggunakan peranti accelerometer sebelum peserta dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut jumlah tidur pampasan yang diperoleh pada hujung minggu.

BACA LAGI: Anak tak fasih cakap Melayu? Wanita ini bangga ajar anak berbahasa Malaysia setiap hari walaupun tinggal di Dubai

BACA LAGI: 'Tak semua anak yang anxious, kelam kabut, tak reti duduk diam itu ADHD', pakar optometris dedah masalah sebenar anak 9 tahun ini

Kajian mendapati individu yang menambah waktu tidur pada hujung minggu mencatat risiko lebih rendah mendapat penyakit jantung berbanding mereka yang tidak menambah waktu rehat.

“Tidur tambahan yang mencukupi ada kaitan dengan jantung lebih sihat, terutamanya bagi mereka yang selalu kurang tidur pada hari bekerja,” kata penyelidik dari Fuwai Hospital, Beijing, Yanjun Song.

Sepanjang tempoh hampir 14 tahun pemantauan, peserta yang memperoleh tidur tambahan paling banyak pada hujung minggu didapati mempunyai risiko penyakit jantung 19 peratus lebih rendah berbanding mereka yang paling sedikit.

Dalam kalangan peserta yang disahkan mengalami tidur tidak mencukupi iaitu kurang tujuh jam setiap malam (19,816 orang atau 21.8 peratus daripada keseluruhan), mereka yang tidur lebih lama pada hujung minggu mencatat sehingga 20 peratus lebih rendah risiko penyakit jantung berbanding yang tidak menambah tidur.

Kajian turut menilai beberapa penyakit termasuk strok, kegagalan jantung, fibrilasi atrium dan penyakit jantung iskemia. 

Namun, tiada perbezaan ketara dikesan antara lelaki dan wanita.

Penyelidik turut mengakui terdapat keterbatasan dalam data kerana tidak semua peserta dikategorikan sebagai tidak cukup tidur. 

Sebahagian masih memperoleh purata tujuh jam sehari, namun corak tidur mereka tidak konsisten.

Seorang lagi penyelidik, Zechen Liu berkata, penemuan itu sangat relevan dengan realiti masyarakat moden yang sering terpaksa mengorbankan waktu tidur kerana tuntutan kerja dan jadual harian.

“Bagi masyarakat yang kerap tidak cukup tidur, mereka yang menambah waktu tidur paling banyak pada hujung minggu menunjukkan kadar penyakit jantung jauh lebih rendah,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram