Hanya lakukan 3 'trick' rekaan dalaman ini mampu beri pulangan besar, nilai rumah boleh lonjak puluhan ribu


  • Hias
  • Rabu, 27 Ogos 2025

Sentuhan rekaan dalaman ringkas mampu melonjakkan nilai jualan rumah hingga ratusan ribu ringgit.

REKAAN dalaman dan gaya hiasan rumah boleh memberi kesan besar terhadap harga jualan sesebuah kediaman, khususnya di kawasan hartanah bernilai tinggi.

Kajian antarabangsa menunjukkan perubahan kecil dalam dekorasi mampu menaikkan nilai rumah sehingga puluhan ribu ringgit.

Ia mungkin sesuatu yang kini semakin menjadi tumpuan pemilik rumah di Malaysia.

BACA LAGI: Pemilik studio kumpul objek era merdeka, khazanah keluarga turun temurun tarik minat orang muda

BACA LAGI: [VIDEO] Remaja 13 tahun bina sarang lebah 3D cetakan sendiri dalam bilik tidur

Menurut data daripada firma hiasan dalaman Level Frames, pemilik rumah di pasaran paling kompetitif seperti New York City berjaya meningkatkan nilai jualan rumah antara USD24,000 hingga USD42,000 (sekitar RM108,000 hingga RM189,000) hanya dengan penambahbaikan dekorasi dalaman.

Secara purata di seluruh Amerika Syarikat, trik hiasan dalaman itu menyumbang tambahan nilai kira-kira USD18,500 (sekitar RM83,000) kepada harga hartanah bersamaan kenaikan sehingga lima peratus.

Sekiranya dibandingkan dengan Malaysia, di kawasan tumpuan seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Johor Bahru dan Pulau Pinang, strategi yang sama boleh memberi kesan ketara terhadap daya tarikan pembeli serta potensi pulangan jualan.

Tiga cara rekaan dalaman beri pulangan besar

1. Cahaya semula jadi

Cahaya semula jadi menjadikan ruang rumah terasa lebih luas dan segar.

Ia bukan sahaja mengurangkan kebergantungan pada lampu elektrik, malah selari dengan trend kediaman mesra alam yang semakin diminati pembeli muda.

Tip mudah: Pastikan tingkap dibersihkan, langsir nipis digunakan dan elakkan perabot menghalang sumber cahaya.

Cahaya semula jadi menjadikan ruang rumah lebih luas dan segar. — Gambar hiasan

2. Palet warna neutral

Warna neutral seperti putih, kelabu lembut dan beige dianggap paling selamat kerana menonjolkan keselesaan dan versatiliti.

Kajian menunjukkan dapur berwarna putih adalah salah satu cara paling berkesan untuk meningkatkan nilai rumah.

Bagi yang mempunyai bajet terhad, cukup sekadar menukar sarung kusyen, cadar, tuala atau selimut sofa kepada tona lebih lembut bagi memberi kesan segar dan moden.

Bingkai seni dinding menambah nilai estetik kediaman. — Gambar hiasan

3. Seni dinding, bingkai gambar

Hiasan dinding dengan bingkai seni atau foto memberi impak visual yang kuat ketika pembeli melihat rumah.

Susunan yang kemas, bersaiz seimbang dengan ruang serta digantung pada paras mata mampu meningkatkan daya tarikan kediaman.

Untuk gaya lebih mewah, pilih bingkai berkualiti tinggi atau susun karya seni bercorak alam semula jadi yang mudah diterima pelbagai citarasa.

Jika bajet terhad, bingkai gambar keluarga atau karya seni bercetak juga sudah memadai.

Pulangan besar dengan pelaburan kecil

Di Amerika Syarikat, bandar seperti San Jose, San Francisco dan Los Angeles mencatatkan lonjakan nilai tertinggi hingga AS$76,000 (RM342,000) selepas proses staging rumah dilakukan.

Manakala di New York City pula, peningkatan purata ialah sekitar AS$38,000 (RM171,000).

Di Malaysia, walaupun angka rasmi tidak sejelas pasaran Amerika, pakar hartanah percaya strategi serupa mampu meningkatkan nilai rumah terutamanya di kawasan premium seperti Bangsar, Mont Kiara, Georgetown dan Johor Bahru.

Peningkatan antara RM50,000 hingga RM150,000 bukan sesuatu yang mustahil hanya dengan sentuhan dekorasi dalaman yang betul.

Dengan sedikit pelaburan dalam cahaya semula jadi, palet warna neutral dan seni dinding yang bersesuaian, pemilik rumah di Malaysia boleh menjadikan kediaman mereka bukan sahaja lebih menarik, tetapi juga berpotensi menjual pada harga lebih tinggi.

Kadangkala, trick kecil dalam rekaan dalaman mampu memberi pulangan besar sekali gus menjadikan ia langkah bijak sebelum meletakkan rumah di pasaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram