
DI sebalik deretan perabot moden berasaskan kayu dan plastik, masih ada jenama tempatan yang setia mempertahankan seni rotan tradisional agar tidak luput ditelan zaman.
Jenama tersebut ialah Rattan Art, yang kini diterajui generasi keempat keluarganya.
Berbeza dengan kebanyakan pengusaha perabot lain, Rattan Art bukan sekadar menjual kerusi atau meja, tetapi turut membawa warisan seni tangan yang diperturunkan sejak zaman nenek moyang.
BACA LAGI: [VIDEO] Remaja 13 tahun bina sarang lebah 3D cetakan sendiri dalam bilik tidur
BACA LAGI: Dunia semakin panas, ancaman jangka panjang buat kanak-kanak dan warga emas
Bermula daripada usaha seorang nenek yang menganyam rotan dengan tangan, kini legasi itu diteruskan oleh cucu-cicitnya dengan pendekatan lebih moden.
Menurut salah seorang pemilik bersama, Tan Yoke Liam, 42, kesinambungan ini tidak datang secara kebetulan, sebaliknya hasil tekad keluarga mereka untuk mengekalkan identiti rotan sebagai sebahagian daripada budaya tempatan.
"Rotan ada keunikan tersendiri. Ia bukan sekadar bahan, tetapi sebahagian daripada identiti. Rotan mempunyai ciri klasik yang tidak boleh digantikan oleh kayu atau plastik. Ia memberikan rasa semula jadi, sejuk dan mesra alam," katanya kepada Majoriti.
Perabot rotan menyerlahkan keindahan semula jadi dalam ruang tamu.
Walaupun dilihat sebagai perabot orang lama, rotan kini kembali mendapat tempat di hati generasi muda.
Bagi Tan, ini adalah perkembangan positif yang membuktikan rotan masih relevan dalam dunia hiasan dalaman masa kini.
"Sekarang semakin ramai orang muda yang menghargai rotan. Mereka tidak semestinya penuhi rumah dengan perabot rotan, tetapi cukup dengan satu sudut istimewa seperti kerusi atau meja kopi untuk menambah seri ruang tamu," jelasnya.
Malah, pelanggan Rattan Art datang daripada pelbagai lapisan masyarakat tidak kira daripada golongan berusia, remaja, mahupun keluarga diraja pernah menempah perabot rotan khas.
Rotan memberikan suasana klasik yang tidak lapuk ditelan zaman.
Bagi yang tidak tahu, menghasilkan perabot rotan bukan kerja mudah.
Bahan mentah biasanya diperoleh daripada orang asli di hutan, sebelum melalui proses panjang termasuk dimasak, dikeringkan, diluruskan dan dikupas kulitnya.
Setiap perabot pula dibuat sepenuhnya dengan tangan, sekali gus menjadikan tempoh menyiapkannya agak lama.
"Ramai fikir kos perabot rotan tinggi kerana bahan mentahnya mahal. Sebenarnya bukan. Kos itu datang daripada masa dan tenaga kerja kerana setiap satu dibuat secara manual. Inilah yang menjadikannya bernilai," jelas Tan.
Sentuhan halus tukang mahir menjadikan setiap perabot eksklusif.
Namun, cabaran besar yang dihadapi industri ini ialah kekurangan tukang mahir.
Pembuatan rotan menuntut kemahiran tinggi dan tidak boleh dipelajari dalam masa singkat.
Tan mengakui, jika masalah kekurangan tenaga mahir ini tidak diatasi, seni rotan berisiko hilang.
"Kalau tukang rotan berkurangan, memang sukar untuk kita teruskan. Sebab itu kami cuba melatih generasi baharu agar mereka boleh meneruskan legasi ini," tambahnya.
Perabot rotan sesuai digabungkan dengan dekorasi moden.
Di sebalik segala cabaran, Rattan Art tetap optimis bahawa rotan tidak akan lenyap begitu sahaja.
Sebaliknya, seni ini akan terus hidup selagi ada generasi yang menghargai keindahan dan kehalusan buatan tangan.
Bagi Tan, rotan bukan sekadar perabot, tetapi simbol warisan dan ketahanan satu seni yang menyatukan tradisi lama dengan sentuhan moden.
"Rotan akan sentiasa ada tempatnya. Selagi ada yang menghargainya, kami akan terus menghasilkan perabot rotan dengan penuh rasa bangga," ujarnya penuh gembira. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram