Pemilik studio kumpul objek era merdeka, khazanah keluarga turun temurun tarik minat orang muda


  • Hias
  • Isnin, 25 Ogos 2025

Suasana retro di Vault Space KL membawa pengunjung mengimbau nostalgia rumah lama penuh kenangan.

DI tengah hiruk-pikuk kota raya yang serba moden, sebuah studio kecil di Kuala Lumpur menjadi ruang luar biasa yang membawa pengunjung menyeberangi masa.

Dari pintu masuk lagi, aroma kayu lama, cahaya lampu kekuningan dan barangan antik yang tersusun rapi membuatkan sesiapa sahaja seolah-olah melangkah pulang ke rumah nenek di kampung halaman.

Inilah keunikan Vault Space KL, sebuah studio fotografi yang bukan sekadar tempat bergambar, tetapi kapsul nostalgia hidup dengan kisah keluarga dan semangat kemerdekaan.

BACA LAGI: Dunia semakin panas, ancaman jangka panjang buat kanak-kanak dan warga emas

BACA LAGI: [VIDEO] Remaja 13 tahun bina sarang lebah 3D cetakan sendiri dalam bilik tidur

Studio itu mula mendapat perhatian ramai selepas dekorasi vintajnya tular di media sosial kerana berjaya mengetengahkan suasana rumah Melayu lama yang penuh dengan elemen warisan.

Perabot kayu jati, radio klasik, almari kaca berisi cawan bunga kangkung, sehinggalah tingkap bercorak retro menjadi daya penarik utama yang menghidupkan suasana 60-an dan 70-an.

Menurut pengasasnya, Izmer Hadin, 30, idea menubuhkan Vault Space KL datang daripada rasa cinta terhadap sejarah keluarga dan keinginan untuk mengabadikan suasana rumah lama dalam bentuk visual.

Studio ini dibina bukan sahaja untuk tujuan komersial, tetapi juga sebagai ruang komuniti untuk merakam memori bersama ahli keluarga, rakan-rakan serta pasangan yang ingin mengabadikan momen istimewa mereka.

Beroperasi di Wangsa Maju studio berkonsepkan klasik dan nostalgia ini dihiasi dengan barangan lama yang sebahagian besarnya merupakan peninggalan ayah serta neneknya.

Lebih 80 peratus dekorasi dalam studio itu adalah koleksi keluarga antaranya mesin taip yang digunakan ayahnya ketika berkhidmat di Kem Terendak, set cawan kopitiam, televisyen lama bertanda nama ayah, almari kaca berwarna-warni, hinggalah ke tingkap kayu asal dari rumah neneknya di Tanjung Karang.

"Studio ini bukan sekadar tempat bergambar, tetapi saya mahu orang yang datang merasai suasana sebenar rumah lama, seolah-olah kembali ke zaman 50 atau 60 tahun dahulu," kata Izmer kepada Majoriti.

Izmer pengasas Vault Space KL.

Nostalgia Kemerdekaan

Lebih menarik, setiap barangan yang dipamerkan bukan sahaja membangkitkan rasa rindu kepada kampung halaman, tetapi turut menyuntik semangat kemerdekaan.

Mesin taip lama, misalnya, mengingatkan kepada era ketika datuk dan nenek menulis surat atau bekerja di jabatan kerajaan selepas negara mencapai kemerdekaan.

Manakala penggunaan perabot kayu klasik serta hiasan rumah desa mencerminkan kehidupan sederhana generasi terdahulu.

"Bila pelanggan datang bersama ibu bapa atau datuk nenek mereka, ramai yang sebak. Mereka kata terasa macam kembali ke zaman awal merdeka, ketika hidup lebih sederhana tetapi penuh kebersamaan," jelasnya.

Lebih 80 peratus dekorasi dalam studio itu adalah koleksi keluarga Izmer.

Warna, dekorasi dan rasa kebersamaan

Izmer memilih tona warna 'earth tone' seperti coklat kayu, hijau pokok dan sentuhan emas bagi mengekalkan suasana klasik tanpa menenggelamkan pengunjung dalam gambar.

Konsep minimalis pula dipilih agar studio tidak 'crowded' tetapi tetap menonjolkan identiti rumah lama.

Rekaan itu nyata mendapat pujian pelanggan, termasuk seorang veteran berusia 60-an yang menganggap konsep Vault Space KL 'less is more' dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat, tanpa mengira bangsa atau agama.

"Semangat kemerdekaan bukan hanya tentang bendera, tetapi bagaimana kita menghayati warisan dan asal-usul.

"Studio ini saya jadikan sebagai jambatan untuk generasi kini merasai suasana itu. dari barangan lama hingga ke dekorasi yang menghidupkan memori zaman lampau," kata Izmer.

Setiap barangan dipamerkan turut menyuntik semangat kemerdekaan.

Lebih dari sekadar bergambar

Hari ini, Vault Space KL bukan hanya menjadi lokasi bergambar keluarga, pasangan atau individu, tetapi juga sebuah ruang yang mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Ada pelanggan datang seramai 10 orang atau lebih, lengkap dengan pakaian tradisional, untuk mengabadikan momen seolah-olah berada di rumah kampung 60 tahun lalu.

"Bila mereka bawa pulang gambar, ia bukan hanya kenangan visual tetapi juga perasaan-perasaan cinta kepada asal-usul dan perjuangan nenek moyang yang membina negara hingga merdeka," tambahnya.

Mesin taip lama mengingatkan kepada era ketika datuk dan nenek bekerja di jabatan kerajaan selepas negara mencapai kemerdekaan.

Bagi Izmer, setiap klik kamera di dalam studio adalah satu cara kecil untuk menghidupkan kembali rasa kesederhanaan, kebersamaan dan semangat perjuangan yang menjadi asas Malaysia hari ini.

Lebih menarik, suasana di dalam studio turut berubah mengikut tema sempena bulan-bulan tertentu, khususnya menjelang Hari Kebangsaan.

"Ramai yang datang bukan sekadar untuk bergambar, tetapi kerana rindu dengan suasana kampung dan nostalgia zaman kecil mereka," ujarnya.

Malah ada juga yang membawa ibu bapa warga emas ke sini sebagai cara untuk mengimbau kenangan mereka semasa muda.

Studio itu dihiasi dengan barangan lama yang sebahagian besarnya merupakan peninggalan ayah serta neneknya.

Bagi anak muda pula, Vault Space KL menjadi peluang untuk mendekati warisan lama yang mungkin tidak pernah mereka alami secara langsung.

Ia seakan membuka jendela masa, memberi ruang untuk mereka merasai sendiri kehangatan rumah lama yang kaya dengan nilai kekeluargaan.

Pendek kata, Vault Space KL bukan sekadar lokasi fotografi biasa.

Ia adalah ruang yang menghubungkan generasi, menghidupkan semula memori lama dan dalam masa yang sama meniupkan semangat cinta akan tradisi serta tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram