
KETIKA kebanyakan remaja berusia 13 tahun menghabiskan cuti musim panas dengan bermain permainan video atau menyertai kem jati diri di luar.
Seorang remaja dari Utah, Amerika Syarikat memilih jalan berbeza apabila membina sarang lebah 3D cetakan sendiri di dalam bilik tidurnya.
Oliver Taylor menghasilkan habitat lebah unik itu dengan mencetak dua unit heksagon menggunakan pencetak 3D dan menyambungkannya ke tingkap biliknya.
BACA LAGI: 'Berhati-hati bila menghias rumah', 7 trend dekorasi membazir menurut pakar hiasan dalaman
BACA LAGI: Dunia semakin panas, ancaman jangka panjang buat kanak-kanak dan warga emas
Lebah masuk melalui tiub pengudaraan yang kelihatan seperti saluran penghawa dingin mudah alih.
Reka bentuknya bersifat modular, bermakna Oliver boleh menambah lebih banyak unit untuk meluaskan sarang.
Namun, ketika ini saja sudah menempatkan antara 30,000 hingga 40,000 ekor lebah lengkap dengan penghasilan madu.
Video yang dimuat naik bapanya, seorang artis visual terkenal, di Threads dan Instagram menjadi tular dengan lebih 10 juta tontonan dan puluhan ribu tanda suka.
"Saya tak sangka sambutannya sebesar itu," kata Oliver kepada Popular Science.
Oliver memang gemar membina sesuatu sejak kecil dan ini semua bermula dengan Lego, kemudian membuat 'perang kotak' bersama rakan-rakan dengan menghasilkan pedang dan perisai daripada kadbod.
Pada usia lapan tahun, dia menerima pencetak 3D pertama dan tidak lama kemudian, dia belajar menggunakan perisian sumber terbuka 'blender' untuk mereka bentuk sendiri.
Pada usia 11 tahun, dia mendapat pencetak Prusa yang lebih canggih dan mula menghasilkan pelbagai projek termasuk trebuchet setinggi 20 kaki (sejenis lastik gergasi).
Kini, dia sedang menyiapkan versi lebih besar.
Keluarganya memang sudah memelihara beberapa sarang lebah tradisional di luar rumah.
Namun, ilham membina versi mini dalam bilik tidur tercetus selepas Oliver melihat reka bentuk komersial dalam talian akan tetapi dengan harga lebih USD1,000 (RM4,600), sesuatu yang mustahil untuk bajet seorang pelajar sekolah menengah.
"Saya fikir lebih baik saya buat sendiri," katanya.
Semasa meneliti model asal, Oliver menyedari ada kelemahan pada pintu keluar masuk yang boleh menyebabkan lebah berhamburan keluar ketika unit baharu ditambah.
Dia kemudian mencipta sistem dua pintu, diinspirasikan daripada pintu kapal selam, bagi mengelakkan lebah melarikan diri.
Unit heksagon itu juga boleh ditanggalkan dengan mudah bagi memudahkan kerja pembersihan serta memberi perlindungan jika ada serangan lebah perampas yang biasanya datang mencuri madu.
Oliver mendapatkan koloni permulaan daripada ladang lebah, lengkap dengan seekor ratu dan sekitar 12,000 ekor lebah.
Dia turut mereka cipta sistem suapan gula air di bahagian atas untuk membantu lebah menyesuaikan diri.
Oliver mendapatkan koloni permulaan daripada ladang lebah, lengkap dengan seekor ratu dan sekitar 12,000 ekor lebah.
Membina sarang lebah dalam bilik tidur bukan untuk semua orang.
Pernah sekali Oliver tinggalkan bapanya menjaga sarang ketika dia mengikuti perkhemahan pengakap.
Malangnya, terdapat kebocoran kecil menyebabkan kira-kira 100 ekor lebah berkeliaran di bilik tidur.
Bapanya terpaksa menyedutnya dengan vakum.
Ibunya pula sebenarnya alergik terhadap sengatan lebah, namun, ia tidak menghalang beliau daripada membantu Oliver dengan memakai sut khas.
"Saya tak perlukan sut. Lebah tak sengat sesuka hati," kata Oliver.
Kini, dia bercadang untuk memasang sistem pengeluaran madu bagi memudahkan penuaian, malah mungkin satu hari nanti menjual madu dari sarang cetakan 3D ciptaannya.
Oliver juga mahu menambah satu lagi unit heksagon ke dinding biliknya.
Malah, katanya, secara teori dia boleh memenuhi seluruh dinding bilik dengan sarang lebah.
"Saya boleh teruskan sampai penuh dinding, tapi mungkin itu dah terlalu gila," katanya sambil ketawa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram