
DENDAM selama 18 tahun memuncak apabila seorang menantu menghalau mentuanya selepas pernah dihina dan diusir keluar dari rumah keluarga suami dalam kejadian yang berlaku di Sulawesi Utara, Indonesia.
Tindakan itu dirakam dalam sebuah video yang dimuat naik akaun Instagram Feedgramindo, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet.
Menurut laporan, konflik bermula sejak 2007 apabila perkahwinan Sherly dan suaminya tidak direstui kerana faktor ekonomi serta status sosial.
BACA LAGI: Wanita sedih suami minta 'rehome' si bulus, mentua kurang selesa apabila berkunjung ke rumah
Ketika itu, pasangan berkenaan hidup serba kekurangan dan pernah menerima layanan buruk daripada keluarga mentua.
Ketegangan memuncak apabila Sherly dan suaminya diusir bersama anak mereka, yang ketika itu turut tidak diakui sebagai cucu oleh keluarga mentua.
Selepas hampir dua dekad berjuang, Sherly kini hidup selesa bersama suami.
Namun, kedatangan mentua ke rumah pada 2025 mengundang kembali rasa sakit hati yang lama dipendam.
Dalam rakaman video berdurasi pendek, Sherly kedengaran menengking mentuanya sambil berkata:
“Saya bukan menantumu lagi, jangan pernah datang ke rumah ini," kata Sherly.
Mentua tersebut hanya menundukkan wajah sebelum beredar tanpa membalas kata-kata.
Lebih mencuri perhatian, rakaman terbabit memaparkan jawapan sinis Sherly mengenai alasan dia memilih untuk melunaskan dendam selepas sekian lama.
"Nak tunggu Tuhan balas, lama lagi sayang. Tuhan itu tak tutup mata. Ramai cakap kesian wanita itu sudah tua, tetapi itu orang tua yang munafik," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rakaman berkenaan meraih ribuan komen dengan pandangan bercampur, ada yang menyokong tindakan Sherly kerana pengalaman lampau, manakala sebahagian warga maya menyifatkan tindakannya keterlaluan.
"Wanita ini sudah 18 tahun memendam rasa sakit hati. Ujian sebenar bila kita ditimpa kesusahan, baik buruk akan nampak," kata Bayu Firmanto.
"Memaafkan bukanlah perkara mudah, apatah lagi jika kita pernah merasai luka itu sendiri. Namun, di situlah letaknya ujian sama ada adakah kita memilih untuk melunaskan dendam demi rasa lega atau belajar menerima secara ikhlas dengan harapan ia menjadi jalan untuk meringankan dosa kita di dunia ini," kata Blueping.
"Kita tak pernah tau apa yang menantu dia rasakan dulu. sampai sedendam itu ke mentuanya," kata Sofia Ointu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram