
DALAM kehidupan berumah tangga, ada pasangan yang bukan sahaja menemukan cinta, tetapi juga pengalaman baharu yang tidak pernah mereka rasai sebelum ini.
Sesetengah individu, mereka merasakan perkahwinan membuka pintu kepada dunia kekeluargaan yang lebih bermakna.
Baru-baru ini, seorang wanita yang juga isteri berkongsi di Threads yang menceritakan pengalaman suaminya yang baru merasai nikmat berkeluarga setelah mereka mendirikan rumah tangga.
BACA LAGI: Dunia semakin panas, ancaman jangka panjang buat kanak-kanak dan warga emas
Wanita yang menggunakan nama akaun @alittlepieceofme2025 itu berkata, sebelum berkahwin, suaminya tidak pernah merasa suasana kekeluargaan yang meriah, lebih-lebih lagi ketika bulan ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
"Selepas kami berkahwin, baru suami saya merasa nikmat masakan seorang emak. Dah lebih 10 tahun berkahwin, sehingga kini ayah saya mesti meminta emak untuk masakkan menu kegemaran suami saya setiap kali pulang ke kampung.
"Kadang ayah ajak suami saya ke pasar untuk beli lauk yang dia nak makan," kongsinya.
Menurutnya lagi, suasana hari raya di rumah keluarga suaminya juga sangat berbeza. Juadah tradisi seperti rendang, ketupat atau kuih raya tidak pernah disediakan, sebaliknya hanya bergantung pada makanan yang dibeli.
“Pagi raya, ayah dia akan keluar cari orang jual lemang dan rendang. Tak pun, ayah dia akan goreng bihun je. Itulah juadah mereka pagi raya,” jelasnya.
Beliau menambah, keadaan itu berbeza selepas berkahwin yang mana suaminya kini dapat merasai pengalaman raya penuh tradisi bersama keluarganya.
"Selepas berkahwin dengan saya juga suami baru merasa nikmat beraya dengan keluarga. Dari pasang langsir, buat kuih raya, berbuka dengan lauk sendiri, main mercun, masak juadah malam raya, beli baju raya sampai bergambar ramai-ramai," ujarnya.
Tambahnya lagi, meskipun tidak menerima sokongan penuh dari keluarga mertua, beliau bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang baik serta menghargai kasih sayang keluarga sebelahnya.
"Walaupun saya tak dapat di pihak keluarganya, tapi saya dapat suami yang baik. Jadi saya faham. Saya tak boleh tamak," katanya.
Beliau turut berkongsi giliran pulang ke kampung ketika beraya. Katanya, suaminya enggan meluangkan masa bersama keluarganya kerana tidak mahu suasana raya yang dianggap hambar.
"Dari dulu sampai sekarang, bukan saya yang tetapkan beraya di mana. Saya ada juga bertanya kepada dia sama ada dia mahu beraya bersama keluarga belahnya tapi dia tak nak.
"Untungnya saya dekat sini, setiap kali raya memang akan beraya dengan keluarga belah saya. Tak perlu gaduh," tulisnya seloroh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram