Angkat wajah Malaysia ke pentas dunia, Ayyman Rahim percaya model lokal setanding peragawati antarabangsa


  • Gaya
  • Isnin, 25 Ogos 2025

Ayyman (tengah) menubuhkan The Models Lab KL pada 2018. — Instagram/@ayymanrahim

DALAM dunia fesyen, wajah bukan sekadar mewakili jenama atau menghiasi sesuatu karya. Ia juga mencerminkan siapa mereka sebagai masyarakat.

Malaysia dengan kepelbagaian budaya dan bangsa seharusnya memiliki ruang yang sama rata untuk semua wajah lokal bersinar.

Namun realitinya tidak semudah itu. Pengasas The Models Lab KL, Ayyman Rahim, 33, berkata, beliau melihat sendiri cabaran tersebut sejak menubuhkan agensi itu pada 2018.

BACA LAGI: 'Tak perlu gaduh, memang pulang kampung saya setiap kali raya', wanita kongsi suami baru merasai nikmat berkeluarga selepas kahwin

BACA LAGI: Masih berbaju kurung gaya signatur, Sharifah Amani bawa watak guru dalam iklan terbaharu Petronas sempena Hari Kebangsaan

Pemilihan model yang bernaung di bawah The Models Lab KL dinilai berdasarkan bakat dan potensi, bukan warna kulit atau budaya. — Instagram/@themodelslabkl 

Graduan ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu tidak menafikan bahawa sikap segelintir penggiat fesyen tempatan yang masih terikat dengan pandangan sempit mengenai standard kecantikan menjadi antara halangan besar dalam industri.

“Saya rasakan cabaran adalah kepada orang-orang kita sendiri terutama pereka fesyen atau jenama yang masih obses terhadap caucasian models.

"Ada yang tidak memberi peluang kepada model tempatan kerana mereka merasakan ‘standard kecantikan’ adalah seperti patung barbie yang ada pada caucasian models.

"Minda yang terus dijajah ini adalah antara cabaran yang hingga kini masih kita lalui,” kata anak kelahiran Selangor itu.

Meskipun berdepan cabaran itu, Ayyman tetap yakin dengan perubahan yang semakin jelas kelihatan.

Menurutnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai model tempatan mula menghiasi papan iklan, iklan televisyen serta muka depan majalah utama.

“Dulu kalau ada penggambaran kempen baju aidilfitri pun, selalunya wajah caucasian model yang ditonjolkan, walhal bukan mereka yang meraikan perayaan itu.

"Tapi sekarang saya gembira apabila semakin ramai menerima wajah lokal kita. Saya percaya, model kita juga boleh,” katanya yang menubuhkan agensi berkenaan pada 2018.

 

 

Bercerita lanjut, anak kedua daripada dua beradik tersebut berkata, inspirasi menubuhkan The Models Lab KL datang selepas melihat kejayaan agensi di Indonesia yang menyatukan bakat tempatan di bawah satu bumbung.

“Saya kagum melihat bagaimana model-model Indonesia bergerak di bawah satu agensi. Dari situ saya mula terfikir, kenapa malaysia tidak boleh ada agensi sebegitu?” katanya.

Ketika itu, kebanyakan model tempatan lebih selesa bergerak secara freelance dan mengurus sendiri urusan bersama klien kerana tidak yakin dengan keperluan agensi.

Namun, pada penghujung 2018, dengan sokongan rakan-rakan rapat yang juga model seperti Tuti Noor, Shikin Gomez, Rita Nadira dan Natasha Noor, beliau menubuhkan agensi berkenaan.

“Saya sentiasa berterima kasih kepada mereka kerana percaya dengan misi saya ketika semuanya masih di peringkat awal,” jelasnya.

Sejak awal penubuhan, Ayyman tidak pernah menetapkan syarat bangsa atau latar belakang untuk menjadi model. baginya, selagi memiliki pakej yang diperlukan, peluang sentiasa terbuka.

“Apa-apa bangsa dari Malaysia tidak menjadi masalah, asalkan ada apa yang diperlukan untuk jadi model,” jelasnya.

Mengulas mengenai pemilihan model, Ayyman berkata, ia tidak hanya bergantung pada rupa paras, tetapi turut melibatkan ketinggian, personaliti, aura bintang dan faktor keberuntungan.

“Kadang-kadang, apabila kami lihat seseorang itu, kami tahu dia ada sesuatu untuk jadi model berkaliber,” katanya.

 

 

Tambah beliau, semua calon dinilai berdasarkan bakat dan potensi, bukan warna kulit atau budaya.

Keistimewaan model Malaysia pula jelasnya terletak pada sifat ketimuran, sopan santun dan keramahan yang membezakan mereka daripada model luar negara.

Antara contoh yang dibanggakan ialah Shikin Gomez, model berdarah campuran Melayu-India yang pernah beraksi untuk Dior, Libertine dan LaPointe.

“Shikin membawa identiti unik yang menonjolkan keindahan kepelbagaian Malaysia,” ujar Ayyman.

Baginya, personaliti sama penting dengan rupa. Tanpa 'X factor', model akan tampak kosong biarpun berhias mewah.

Kepada anak muda yang berminat, Ayyman berpesan agar tidak mudah putus asa hanya kerana merasakan diri tidak memenuhi ‘standard’ tertentu.

“Tidak semua orang boleh jadi model, sama seperti tidak semua boleh jadi penyanyi atau pelakon. kalau ada pakej sesuai, cuba pasarkan diri di media sosial. Mungkin satu hari nanti ada yang melihat anda," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram