'Jangan hadkan masa depan mereka hanya kerana sistem tak cukup inklusif', ibu bapa kecewa anak gagal dapat UPU, dakwa kerana status OKU


  • Bonda
  • Isnin, 25 Ogos 2025

Seorang anak autisme cemerlang tidak dapat melanjutkan pengajian melalui UPU kerana statusnya sebagai pemegang kad OKU. — Gambar Hiasan

SEORANG wanita meluahkan rasa terkilan selepas mendengar kisah seorang bapa di radio Hot FM mengenai anaknya yang menghidap autisme, didakwa gagal mendapat tempat melalui Unit Pusat Universiti (UPU) hanya kerana memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU).

Dalam hantaran di Threads, wanita berkenaan, Mim yang mendengar kisah itu menerusi radio Hot FM mempersoalkan logik di sebalik alasan yang diberikan pihak UPU.

“Sape dengar Hot FM tadi, pasal anak dia autistik tak dapat UPU atas alasan pemegang kad OKU. Permohonan UPU anak dia hilang. Bila call UPU, diorang cakap hilang atau tak diterima sebab anak dia pemegang kad OKU. Tak adil gila.

"Kalau sebab CGPA faham la kan tapi alasan yang UPU bagi sebab anak dia pemegang kad OKU?," soalnya.

BACA LAGI: Wanita sedih suami minta 'rehome' si bulus, mentua kurang selesa apabila berkunjung ke rumah

BACA LAGI: [VIDEO] Siti Nurhaliza dedah 'rahsia' tidak muncul di KLFW, bukan tak hargai pereka tapi...

Malah, penyampai radio Khairy Jamaluddin (KJ) turut meluahkan rasa tidak berpuas hati ketika mengulas perkara berkenaan.

Bagaimanapun, bapa kepada pelajar berkenaan tenang menerima situasi itu, malah menyatakan anaknya akan memohon ke universiti yang lebih mesra OKU seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sebelum ini, bapa kepada pelajar berkenaan, Sazly Azizuddin Sahaimi turut lantang bersuara isu terbabit di laman Facebook.

Sazly mendakwa berlaku diskriminasi terhadap anaknya yang dikenali sebagai Aniq.

Pelajar autisme berstatus OKU kategori Pembelajaran, Aniq memiliki CGPA cemerlang iaitu 3.83 dalam program matrikulasi, sekali gus memenuhi semua syarat am dan khas program yang dipilih.

Namun, menurut Sazly, semua pilihan program yang diisi sebelum ini lenyap sebaik fasa ketiga UPU dibuka.

“Aniq bukan calang-calang pelajar. Dia pilih bidang yang dia minat dan sesuai dengan kemampuan mindanya iaitu Sains Komputer, Sains Matematik, Statistik di UKM dan UPM.

"Dia dah sedia. Tapi bila fasa 3 dibuka, semua pilihan dia hilang. Tiada lagi UKM. Tiada lagi UPM,” katanya.

Lebih mengejutkan, jawapan yang diterima daripada pihak UPU amat mengecewakan apabila alasan yang diberikan hanyalah kerana status OKU anaknya.

“Apa logiknya menafikan peluang anak ini semata-mata kerana label OKU, sedangkan dari segi akademik dia lebih dari layak? Adakah sistem hari ini masih melihat OKU sebagai beban, bukan potensi?” katanya.

Sazly turut menggesa pihak UPU menyemak semula dasar kelayakan pelajar OKU agar lebih inklusif dan adil.

“Kami tidak minta simpati, kami tuntut keadilan. Jangan hadkan masa depan mereka hanya kerana sistem tidak cukup inklusif," katanya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-rata menyifatkan tindakan menolak permohonan hanya kerana status OKU adalah tidak masuk akal.

“Pemegang kad OKU lah yang sepatutnya diberikan keutamaan. Ruang letak kereta boleh beri keutamaan tapi slot untuk ke universiti ada kekangan pulak? Pelik betul," kata Ibnu Mawi.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, Bungaah mencadangkan agar kategori OKU dikaji semula.

“Saya rasa dah sampai masa mereka kena tukar. Autisme yang high functioning ini tak patut duduk bawah masalah pembelajaran. Mereka bijak pandai, kadang A+ bab belajar. Tetapi kategori OKU letak bawah masalah pembelajaran, itu yang susah bila isi borang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram