'Berhati-hati bila menghias rumah', 7 trend dekorasi membazir menurut pakar hiasan dalaman


  • Hias
  • Isnin, 25 Ogos 2025

Pereka dalaman menasihatkan agar elakkan dekorasi trend sementara dan utamakan rekaan berkualiti yang kekal lama.

DEKORASI rumah bukan sekadar gaya sementara, tetapi pelaburan jenis jangka masa panjang.

Ramai yang mudah terpengaruh dengan trend semasa atau barangan murah, namun akhirnya terpaksa berbelanja lebih bila ia cepat rosak atau sudah ketinggalan zaman.

Beberapa pereka dalaman menasihatkan agar kita berhati-hati memilih elemen dekorasi.

BACA LAGI: Negara bukan dalam Lingkaran Api Pasifik masih berisiko gempa bumi, ketahui 8 langkah mempersiap kediaman agar meminimumkan kerosakan

BACA LAGI: Bunga tangan eksotik, dekorasi Nusantara Jawa, Melayu, Baba serlah perkahwinan klasik di 'istana lama' Janda Baik

Elakkan tujuh trend yang dianggap tidak berbaloi dan sebaliknya laburkan duit anda pada barangan berkualiti tinggi, tahan lama serta mampu menaikkan seri ruang kediaman rumah.

1. Warna cat 'trendy'

Penggunaan warna yang berani dan konsep 'color drenching' mungkin menjadi kegilaan orang ramai sekarang, tetapi rupa itu mungkin tidak kekal lama.

"Saya tahu semua orang sukakannya," kata Colleen Bennett, pengasas CBB Design Firm.

"Tetapi saya cadangkan gunakannya seminimum mungkin. Anda akan berakhir dengan dinding hijau, jubin hijau, lantai hijau dan akhirnya terperangkap dengannya."

Pereka ini mencadangkan agar gaya klasik terus dikekalkan dan bahan semula jadi seperti marmar serta kayu yang tidak pernah ketinggalan zaman.

Warna lembut, pastel, dan putih gading sentiasa sesuai.

Jika anda benar-benar sukakan warna berani, teruskan, tetapi fikir masak-masak sebelum terjun ke dalam trend warna yang cepat berlalu.

Selimut bukanlah pelaburan terbaik terutamanya jika tarikannya lebih kepada jenama berbanding hasil kerja.

2. Selimut jenama mewah

"Selimut berlogo bernilai $2,000 (RM9,000) mungkin menandakan status, tetapi ia jarang menambah personaliti sebenar atau kehangatan kepada ruang," kata pereka dalaman Cathryn Lindsey.

"Barangan ini selalunya lebih kepada label berbanding reka bentuk, menjadikannya terasa tidak asli dan ia boleh cepat ketinggalan apabila trend berubah."

Walaupun boleh menjadi bahan perbualan, selimut itu bukanlah pelaburan terbaik terutamanya jika tarikannya lebih kepada jenama berbanding hasil kerja.

Sebaliknya, cari tekstil dengan gaya dan nilai yang berkekalan, seperti selimut tenunan tangan atau hasil artisan yang unik.

Ini memberi tekstur dan kehangatan yang tulen kepada ruang anda, sambil kekal klasik lama selepas jenama popular hilang dari 'feed' Instagram.

"Pilih campuran kasmir atau bulu dengan corak ringkas atau warna polos.

"Ia akan terasa mewah dengan harga lebih rendah, serasi dengan palet warna anda dan kekal relevan sepanjang masa," kata Lindsey.

Pokok tiruan tidak membawa tenaga, tekstur atau variasi semula jadi yang dibawa tumbuhan hidup.

3. Pokok tiruan

Benda ini tidak akan pernah kelihatan elegan selain menjadi pengumpul habuk plastik, tumbuhan tiruan hampir selalu nampak palsu, tidak kira berapa mahal pun anda beli.

Ia tidak membawa tenaga, tekstur atau variasi semula jadi yang dibawa tumbuhan hidup ke dalam bilik dan lama-kelamaan ia hanya memenuhi ruang.

Tumbuhan sebenar atau yang diawet seharusnya terasa asli dan organik bukan dihasilkan secara besar-besaran.

Sebaliknya: Pilih tumbuhan mesra haiwan peliharaan, sukulen yang mudah dijaga atau tumbuhan hiasan yang boleh hidup dengan keadaan cahaya rumah anda.

Susunan kering atau bunga diawet juga pilihan hebat.

4. Perabot pakai buang

Tidak kira betapa murah harganya, perabot pakai buang jarang berbaloi.

"Ia hanya menambah ke tapak pelupusan, kualitinya rendah dan tidak direka khas," kata Bennett.

Walaupun perabot trend itu nampak seperti penyelesaian jangka pendek yang bijak, ia sering mempunyai jangka hayat pendek dari segi gaya dan binaan.

Dalam beberapa tahun (atau bulan), ia boleh nampak lusuh dan rosak.

Oleh itu, Bennet menyarankan supaya melabur dalam barangan yang lebih mahal tetapi berkualiti, diperbuat daripada kayu padu, logam atau bahan tahan lama lain.

Ia berbaloi dari segi estetik dan kesan terhadap alam sekitar.

"Dapatkan barangan yang sesuai dengan ruang anda. Jika anda tidak mampu tempahan khas, sentiasa ada pilihan boleh suai mengikut bajet anda," kata Bennett.

Perabot vintaj juga pilihan bijak, memberikan ketahanan, karakter dan rupa yang klasik.

5. Dekorasi bertema atau bermusim

"Bilik yang dibina sepenuhnya berasaskan watak, motif atau trend yang sangat spesifik boleh terasa menyeronokkan ketika itu, tetapi ia sangat mengehadkan ketahanan ruang. Terutamanya untuk bilik kanak-kanak atau trend yang dipengaruhi TikTok," kata Lindsey.

Citarasa berubah dengan cepat dan mengubah semula seluruh bilik boleh menjadi mahal dan mengambil masa.

Cara terbaik adalah membina asas yang klasik dengan warna, tekstur dan barangan berkualiti, kemudian tambah sentuhan kecil yang mudah ditukar untuk tema tertentu.

Dengan cara itu, anda dapat personaliti dan keseronokan sekarang sambil kekal fleksibel untuk mengubahnya kemudian.

Dinding galeri berlebihan boleh mendominasi dan membebankan ruang.

6. Dinding galeri berlebihan

Dinding galeri dan aksen yang berani telah digunakan terlalu kerap dalam beberapa tahun kebelakangan ini sehingga ia terasa lebih seperti pilihan bersahaja berbanding sesuatu yang benar-benar diminati.

Ia juga boleh mendominasi dan membebankan ruang.

"Seperti mana-mana trend, gaya reka bentuk dalaman boleh hilang impak bila terlalu berlebihan," kata Danielle Castagna, pakar reka bentuk dalaman di perkhidmatan 'custom framing' Level Frames.

"Daripada panel hingga dinding aksen, apa yang dahulu terasa seperti pembaharuan segar kini boleh cepat kelihatan ketinggalan."

"Anda boleh capai impak visual yang sama dengan rupa lebih segar dengan menggantung satu karya seni besar sebagai titik fokus atau seni berpanel yang memenuhi ruang lebih luas," kata Castagna.

Pertukaran seni bermusim juga pilihan lain, membolehkan anda menukar gaya, suasana dan warna sepanjang tahun tanpa mengecat semula atau menukar kertas dinding.

7. Teknologi tersembunyi

Tidak semua gajet tersembunyi dan ciri 'ultra-discreet' berbaloi.

"Televisyen terbina dalam yang turun dari siling atau pembesar suara tersembunyi dalam dinding boleh jadi sangat mahal dan dalam beberapa tahun sahaja, teknologinya ketinggalan atau sukar dibaiki," kata Alice Moszczynski, pereka dalaman di Planner 5D.

"Anda sebenarnya membayar untuk satu ‘silap mata’ yang tidak tahan lama."

Pilih teknologi yang tidak hanya nampak bergaya tetapi berkualiti tinggi dengan reka bentuk yang kekal relevan.

Contohnya, televisyen berbingkai yang digantung di dinding boleh bergabung kemas dengan dekorasi anda sambil kekal mudah untuk dikemas kini, dijaga, atau digunakan semula.

Pendekatan itu menjadikan ruang anda lebih berfungsi, tahan masa depan dan bebas daripada kejutan mahal.

Pereka dalaman menegaskan, pilihlah yang tahan lama, berkualiti dan mesra masa depan berbanding aksesori sementara yang hanya menyusahkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram