Datuk Fan anggun berbaju kurung hijau 'mint' terima anugerah, Melinda Looi dedah kisah disebalik busana


  • Gaya
  • Selasa, 26 Ogos 2025

Bagi Melinda, baju kurung tersebut bukan sahaja meraikan pencapaian Datuk Fan, tetapi juga menegaskan peranan beliau sebagai ikon wanita yang memberi inspirasi di peringkat global. — Melinda Looi

JIKA anda mengikuti drama atau filem dari china, pasti tidak asing dengan nama fan bingbing, aktres tersohor yang sering mencuri perhatian dengan bakat dan keanggunannya.

Ahad lalu, beliau dianugerahkan gelaran ‘datuk’ oleh kerajaan negeri melaka sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam sektor pelancongan di negeri itu.

Apa yang mencuri tumpuan ramai bukan sahaja anugerah tersebut, tetapi juga penampilannya di majlis itu.

BACA LAGI: 'Tak perlu gaduh, memang pulang kampung saya setiap kali raya', wanita kongsi suami baru merasai nikmat berkeluarga selepas kahwin

BACA LAGI: 'Cinta Mok, Pok jadi inspirasi', 42 tahun usia perkahwinan ajar Mekyun erti kasih sayang sebenar

 

 

Datuk Fan anggun mengenakan baju kurung moden dalam rona hijau mint, lengkap dengan perincian halus yang mempamerkan tradisi Malaysia dalam gaya kontemporari.

Siapa sangka, rekaan istimewa itu adalah hasil ciptaan Melinda Looi, pereka fesyen tanah air yang terkenal dengan fesyen avant-garde.

Menurut Melinda, rekaan ini merupakan tafsiran moden terhadap baju kurung tradisional.

“Saya kekalkan inti pati klasik baju kurung mengikut keperluan istana, tetapi menambah potongan draping moden dan perincian manik untuk menghormati tradisi sambil menjadikannya relevan dengan zaman sekarang,” katanya ketika dihubungi Majoriti.

Tambah beliau, busana tersebut direka khas menggunakan fabrik renda Perancis dalam tona beige dan mint, dihiasi dengan sulaman tangan, manik kaca Jepun, elemen Swarovski, sequins serta applique tulle yang halus.

Set baju kurung itu dipadankan pula dengan selendang beige yang menambah sentuhan elegan dan menonjolkan keanggunan timeless.

Berkongsi mengenai proses penghasilan, Melinda berkata, menyiapkan rekaan berkenaan bermula sebaik sahaja pihaknya menerima e-mel daripada pihak Datuk Fan pada 9 Ogos lalu dan ia berterusan sehingga sehari sebelum acara berlangsung.

Mengulas pula mengenai proses yang dianggap mencabar, menurut pereka yang sudah berada dalam industri fesyen sejak 1995 itu, tiada bahagian yang terlalu sukar.

Pun begitu, beliau mengakui cabaran utama adalah dari segi masa kerana setiap hiasan memerlukan ketelitian tinggi.

“Bahagian manik paling mengambil masa kerana memerlukan kesabaran dan ketepatan,” ujar beliau sambil menambah pasukannya berjaya menyiapkan walaupun berdepan kekangan masa.

Penghasilan baju dibuat sebaik menerima e-mel daripada pihak Datuk Fan pada 9 Ogos lalu. — Melinda Looi

Selain itu, ciri menarik pada rekaan yang dihasilkan adalah draping asimetri yang diinspirasikan daripada ombak Selat Melaka.

Menurut Melinda, simbolisme itu penting kerana Datuk Fan merupakan Duta Melaka.

“Potongan beralun menceritakan kisah Melaka dan menghubungkan busana dengan identiti negeri,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi detik bekerjasama dengan bintang filem X-Men: Days of Future Past (2014). Katanya, pada awal proses penghasilan, Melinda menghasilkan busana rona 'maroon' kerana ia mencerminkan majlis di istana.

Namun selepas perbincangan bersama Datuk Fan, beliau lebih gemar memilih warna hijau mint kerana ia melambangkan alam semua jadi dan laut, sekali gus menjadikan rekaan itu lebih peribadi dan bermakna buat beliau.

Busana tersebut menampilkan aksen merah jambu yang halus sebagai tanda penghormatan kepada penganugerahan darjah kebesaran sambil menonjolkan sisi feminin pelakon tersebut.

Bagi Melinda, kurung eksklusif tersebut bukan sahaja meraikan pencapaian Datuk Fan, tetapi juga menegaskan peranan beliau sebagai ikon wanita yang memberi inspirasi di peringkat global.

Tambah beliau lagi, fesyen bukan sekadar pakaian, tetapi medium yang membolehkan wanita mengekspresikan identiti dan kekuatan diri.

“Apabila kita berasa yakin dengan apa yang kita pakai, ia memberi inspirasi dan kekuatan kepada orang lain juga,” katanya.

Sekadar info, Datuk Fan dilantik sebagai Duta Persahabatan Pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka tahun lalu.

Pemilihan beliau dibuat kerana pengaruh besarnya dalam menarik perhatian masyarakat China terhadap Melaka sebagai destinasi pelancongan bersejarah.

Hasil penglibatan beliau, promosi Melaka di platform media sosial China seperti WeChat berjaya meraih lebih 1.5 bilion tontonan.

Angka berkenaan dianggap sebagai salah satu pencapaian terbesar dalam sejarah pemasaran digital pelancongan Malaysia.

Bukan sekadar dalam talian, keberkesanan promosi Fan turut dapat dilihat pada statistik ketibaan pelancong.

Jumlah pelancong China ke Melaka meningkat mendadak daripada 204,818 orang pada 2023 kepada 664,687 orang pada tahun lalu

Justeru tidak hairanlah beliau dianugerahkan gelaran tersebut kerana beliau sememangnya memberi sumbangan besar kepada negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram