
MULA mencuri perhatian sejak era 90-an, nama Sharifah Amani tidak pernah lekang daripada ingatan peminat seni tanah air.
Pelakon berusia 39 tahun itu kembali mencuri tumpuan apabila muncul dalam sebuah iklan Petronas sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Menariknya, penampilan beliau masih setia dengan gaya berbaju kurung yang sudah sinonim dengan dirinya, seolah-olah menjadi signatur peribadi beliau.
BACA LAGI: Tujuh gimik menarik di majlis kahwin, nombor 1 dan 6 paling 'rare'!
BACA LAGI: 'Berhati-hati bila menghias rumah', 7 trend dekorasi membazir menurut pakar hiasan dalaman
Sharifah Amani memegang watak sebagai guru dalam iklan terbaharu Petronas sempena Hari Kebangsaan.
Dalam iklan berjudul Sepenuh Hati yang berdurasi enam minit itu, beliau diberi peranan sebagai seorang guru bernama Murni.
Kehadiran Sharifah Amani yang mengenakan baju kurung serta hijab dalam iklan pendek itu mencetus perhatian serta mengundang sebak dalam kalangan warga maya.
Ramai menyifatkan kemunculan semula beliau membawa sentuhan istimewa, mengingatkan penonton kepada lakonan serta wajah awet muda yang pernah mendominasi layar perak sejak kecil.
Bagi peminat setia, ini bukan kali pertama ibu kepada seorang anak itu menghidupkan sesuatu iklan dengan berkesan.
Sewaktu berusia 19 tahun, Sharifah Amani atau nama sebenarnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya tampil dalam iklan raya Petronas 2005 yang menonjolkan nilai murni kekeluargaan bersama pelakon, Iqram Dinzly.
Dalam iklan berkenaan, beliau tampil ringkas berbaju kurung dan rambut diikat kemas, memaparkan sisi remajanya.
Tahun lalu pula, beliau sekali lagi membuktikan kebolehannya apabila digandingkan bersama pelakon, Shaheizy Sam dalam filem pendek raya Proton X Little Joe Syurgaku.
Membawakan watak Sofea, seorang isteri yang berdepan konflik rumah tangga, lakonan beliau dianggap dekat dengan realiti kehidupan berkeluarga.
Daripada era remaja hingga kini, setiap kemunculan Sharifah Amani sentiasa mengundang kekaguman.
Sama ada di layar perak, televisyen mahupun dalam iklan pendek, beliau kekal sebagai antara wajah pelakon wanita tempatan yang berjaya mempamerkan bakat lakonan serta gaya tersendiri.
Bagi penonton, penampilan Sharifah Amani bukan sekadar lakonan, tetapi menjadi bukti bahawa pesonanya masih kukuh, biarpun zaman terus berubah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram