
MAJLIS perkahwinan masa kini tidak lagi sekadar tertumpu pada pelamin, busana pengantin atau juadah istimewa semata-mata.
Semakin ramai pasangan memilih untuk menambah unsur kreatif yang mampu mencipta pengalaman baharu buat tetamu.
Keunikan inilah yang menjadikan sesebuah majlis lebih diingati oleh semua yang hadir.
Menurut perkongsian pengendali majlis perkahwinan, Rumah Abang Jamil, terdapat tujuh trend menarik yang kini semakin popular dan sering dijadikan pilihan utama pasangan pengantin.
1. Lego
Antara trend terhangat ialah aktiviti Lego. Setiap tetamu yang hadir diberikan peluang untuk memilih blok Lego pilihan sendiri sebelum menyusunnya menjadi bentuk ringkas mengikut kreativiti masing-masing.
Hasil Lego tersebut kemudian dimasukkan ke dalam bingkai dan dijadikan sebahagian daripada dekorasi atau kenangan perkahwinan.
Selain menyeronokkan, aktiviti ini menggalakkan interaksi antara tetamu, kanak-kanak mahupun orang dewasa, sekali gus menjadikan majlis lebih hidup dan bermakna.
'Candy wall' berwarna-warni menjadi tarikan utama untuk kanak-kanak di majlis perkahwinan. — Instagram/@manisan.events_kl
2. Candy Wall
Bagi memastikan suasana kekal meriah tanpa gangguan tangisan khususnya anak kecil, pasangan kini mula memperkenalkan candy wall atau ruang manisan.
Kanak-kanak bebas memilih pelbagai jenis gula-gula daripada dinding khas yang dihias menarik.
Ia bukan sahaja cara bijak mengalih perhatian mereka, malah dapat mengurangkan kos kerana tidak lagi perlu menyediakan beg goodies yang banyak.
Candy wall turut menjadi tarikan visual untuk sesi fotografi kerana hiasannya yang berwarna-warni dan menceriakan suasana majlis.
Keepsake unik digunakan sebagai keperluan fotografi, menjadikan setiap gambar lebih bermakna. — Media sosial
3. Keepsake
Trend lain yang semakin diminati ialah penggunaan keepsake. Pasangan membeli barangan kecil seperti aksesori unik, figura hiasan atau objek yang mempunyai nilai sentimental, sebelum diserahkan kepada jurugambar.
Jurugambar kemudiannya memanfaatkan item tersebut sebagai prop dalam rakaman foto dan video.
Hasilnya, gambar kelihatan lebih segar, personal dan berbeza daripada kebiasaan, selain meninggalkan nilai tambah kepada tetamu yang turut terlibat dalam sesi fotografi.
Kek pavlova mewah dengan hiasan buah segar, pilihan unik untuk majlis perkahwinan. — Media sosial
4. Kek pavlova
Tidak lagi terikat dengan kek bertingkat klasik, kini ramai pasangan memilih pavlova sebagai pencuci mulut utama.
Pavlova dianggap eksklusif kerana teksturnya yang rangup di luar, lembut di dalam dan dihiasi buah segar berwarna-warni.
Ada juga pengusaha yang membuat persembahan live decoration, iaitu menghias pavlova secara langsung di hadapan tetamu.
5. Welcome Board buatan tangan
Papan ucapan selamat datang atau welcome board hasil buatan tangan juga semakin mendapat perhatian.
Sentuhan kreatif pengantin atau individu pakar seni menghasilkan karya seni yang unik, bersesuaian dengan tema majlis.
Apabila diletakkan di pintu masuk dewan, ia bukan sahaja menambah seri dekorasi, malah menghadirkan suasana mesra menyambut tetamu.
6. Drawing Character
Trend ini jarang ditemui dalam majlis perkahwinan, menjadikannya satu kelainan yang menarik.
Satu papan khas disediakan dengan lakaran asas berbentuk bulatan wajah kosong pada kertas dan tetamu boleh menambah elemen seperti rambut, mata, hidung atau aksesori mengikut kreativiti masing-masing.
Hasil lukisan kelihatan menarik dan berbeza-beza serta menambahkan suasana ceria.
Tong gas antara hadiah kahwin praktikal yang semakin digemari pasangan pengantin. — Facebook/ Ungku Khairul Fadzli
7. Hadiah kahwin
Satu lagi trend yang unik ialah pemberian hadiah kahwin berbentuk barangan kegunaan harian.
Jika sebelum ini raja sehari terbiasa menerima cenderahati kecil seperti peralatan elektrik, kini ada tetamu yang memilih memberikan barangan lebih praktikal seperti tong gas, lesung batu, periuk atau perkakas rumah lain.
Walaupun tampak sederhana, hadiah sebegini sebenarnya lebih dihargai kerana boleh digunakan dalam kehidupan seharian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram