Negara bukan dalam Lingkaran Api Pasifik masih berisiko gempa bumi, ketahui 8 langkah mempersiap kediaman agar meminimumkan kerosakan


  • Hias
  • Ahad, 24 Ogos 2025

Langkah mudah seperti mengikat perabot dan menyediakan kit kecemasan mampu mengurangkan risiko ketika gempa bumi berlaku.

GEMPA bermagnitud 4.1 yang menggegarkan Segamat, Johor pada awal pagi tadi membuktikan negara yang tidak terletak dalam Lingkaran Api Pasifik sekali pun masih berisiko mengalami bencana alam ini. 

Negara Jepun misalannya, gempa dirasai hampir setiap lima minit dan setiap struktur kediaman atau bangunannya direka khusus untuk mengurangkan impak gegaran.

Tiada istilah terlalu awal untuk memastikan rumah terus utuh biarpun dilanda gempa bumi, maka pelbagai kaedah dilaksana bagi mengurangkan kerosakan serta meningkatkan peluang agar terus selamat.

Bagi kita yang tinggal di negara jarang dilanda gempa, beberapa langkah pencegahan asas mudah boleh diambil tanpa memerlukan kos besar.

BACA LAGI: Bunga tangan eksotik, dekorasi Nusantara Jawa, Melayu, Baba serlah perkahwinan klasik di 'istana lama' Janda Baik

BACA LAGI: [VIDEO] Cara hidup 'homestead' makin popular di Malaysia, hidup atas tanah sendiri, ternak, tanam demi masa depan

Berikut ialah senarai semak ringkas untuk membantu anda melindungi rumah dengan cara yang paling mudah.

1. Elakkan halangan di laluan keluar

Perabot besar atau perkakas rumah berpotensi menjadi zon bahaya.

Ruang dapur dan ruang tamu antara yang paling berisiko kerana jika peti sejuk atau rak tumbang, manakala periuk, gelas, pasu bunga atau pisau tercampak keluar.

Pastikan susunan kabinet dan peti sejuk tidak menghalang laluan keluar sekiranya ia terbalik.

2. Simpan pinggan mangkuk dan peralatan tajam dengan selamat

Barang mudah pecah sebaiknya disimpan di kabinet bawah.

Jika diletakkan di bahagian atas, pastikan pintunya ditutup rapat bagi mengelakkan ia jatuh semasa gegaran.

Peraturan sama terpakai untuk laci yang menyimpan objek keras atau tajam.

3. Elakkan hiasan berat di ruangan tinggi

Jangan letakkan rak atau hiasan berat betul-betul di atas katil kerana ia boleh mencederakan kepala jika jatuh.

Begitu juga dengan cermin, elakkan daripada menggantungnya di bahagian tinggi kerana mudah pecah apabila bergoyang.

Tiga langkah mudah itu memastikan laluan keluar tidak terhalang dan tiada objek berat atau tajam yang membahayakan anda ketika berlaku gegaran.

Langkah pencegahan asas yang mudah ini tetap berkesan dan boleh dilakukan tanpa kos besar.

4. Kunci kabinet dan pintu

Sekadar menutup pintu kabinet tidak mencukupi.

Anda perlu menggunakan kunci atau klip keselamatan, terutamanya untuk kabinet tinggi yang menyimpan barang mudah pecah.

Tingkap kaca juga boleh dilapisi filem perlindungan untuk mengurangkan serpihan jika pecah.

5. Pasang tiang sokongan

Bagi yang tidak mahu menggerudi dinding atau dihalang oleh tuan rumah daripada membuat ubah suai, boleh gunakan tiang pengikat (tension poles) yang diletakkan di antara perabot besar seperti almari atau peti sejuk dengan siling untuk menghalangnya daripada tumbang.

6. Stabilkan perabot kecil

Meja, kerusi, almari rendah atau katil boleh dipasang alas anti-gelincir atau pengikat roda.

Gunakan juga alas getah di bawah pasu bunga atau perabot tanpa kaki supaya ia kekal stabil.

Jika boleh, peti simpanan di rumah sebaiknya dipasang pada dinding.

7. Ikat lampu gantung

Ancaman bukan hanya dari sisi, tetapi juga dari atas.

Lampu gantung wajar diikat dengan rantai atau kabel tambahan agar tidak bergoyang kuat ketika gempa.

8. Stabilkan peralatan elektronik

Peralatan elektronik berat seperti televisyen dan ketuhar gelombang mikro boleh dipasang pengikat pada dinding.

Jika tidak mahu, alas gel anti-gelincir juga boleh digunakan untuk mengekalkannya di tempat asal.

Kit kecemasan gempa perlu ada dokumen penting, makanan tahan lama dan radio untuk mendapatkan maklumat semasa.

Letakkan di lokasi mudah dicapai supaya boleh segera dibawa ketika bencana berlaku.

 

Gunakan tiang pengikat dengan siling untuk menghalangnya daripada tumbang.

Jika anda belum melakukan langkah persediaan di atas, inilah masanya.

Jangan lupa juga kit kecemasan dan fail dokumen penting. Letakkan di lokasi mudah dicapai supaya boleh segera dibawa ketika bencana berlaku.

Jangan tunggu sehingga terlambat untuk menyediakan pelbagai kelengkapan keselamatan gempa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram