
FESYEN bukan sekadar pakaian untuk menutup badan, sebaliknya mencerminkan budaya, personaliti, dan idea.
Setiap koleksi boleh menjadi medium untuk menyampaikan mesej, menghubungkan individu dan menceritakan sesuatu yang lebih daripada sekadar visual.
Segelintir pereka memilih untuk mencipta rekaan yang bukan sahaja menarik, tetapi juga mempunyai cerita dan makna tersendiri.
BACA LAGI: [VIDEO] Siti Nurhaliza dedah 'rahsia' tidak muncul di KLFW, bukan tak hargai pereka tapi...
BACA LAGI: Ibu, adik bongsu maut kemalangan, terkilan 'silent' telefon malam hari
Bagi pengasas dan pereka Syomirizwa Gupta, Syomir Izwa Sen Gupta, pakaian lebih daripada sekadar rekaan cantik.
Menurut beliau, setiap koleksi adalah medium untuk bercerita, menghubungkan orang dan memberi ruang kepada pemakai untuk belajar sesuatu yang lebih mendalam.
Melalui jenamanya, Syomir mahu fesyen menjadi perbualan, bukan sekadar trend semata-mata.
"Saya mahu rekaan saya menjadi sebahagian daripada perbualan. Saya mahu orang memakai baju saya dan dari situ mereka belajar lebih daripada sekadar visual.
"Contohnya, mereka mungkin tertanya-tanya kenapa cetakan tertentu wujud, dan kemudian baru mereka faham cerita di sebaliknya," katanya ketika ditemu bual Majoriti baru-baru ini.
Lebih 20 tahun dalam industri, label beliau dulunya dikenali dengan rekaan berani yang sering bermain dengan motif dan pelbagai warna.
Namun, kini pendekatannya lebih praktikal di mana setiap koleksi dirancang dengan cara yang lebih peribadi.
"Ia menjadi lebih praktikal dan bermakna. Saya tidak boleh hanya menunjukkan siluet dan bold, ia perlu mempunyai perasaan peribadi," jelasnya sambil menekankan bahawa fesyen bagi beliau bukan sekadar visual, tetapi juga mencerminkan pengalaman dan personaliti pemakai.
Selain itu, pendekatan ini juga membolehkan beliau menunjukkan perhatian terhadap pelanggan.
"Saya perhatikan gaya, perubahan hidup dan aktiviti mereka. Saya mahu jenama saya berkembang selari dengan perjalanan hidup pelanggan supaya setiap koleksi bukan sahaja menarik tetapi juga bermakna," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pemahaman tentang pengalaman pemakai membantu beliau menyesuaikan rekaan supaya lebih dekat dengan kehidupan sebenar pelanggan.
Kini, Syomir menjelaskan pendekatannya lebih matang dan seimbang. Beliau mahu cetakan dan warna berani dalam rekaan disepadankan dengan siluet yang mudah dan praktikal supaya pemakai tidak perlu berfikir terlalu banyak ketika memakainya.
"Jika saya mahu menunjukkan print yang luar biasa atau warna yang berani, saya perlu menyeimbangkannya dengan siluet yang mudah dan senang dipakai.
"Itulah cara saya sekarang untuk mengembangkan jenama saya. Ia bertujuan menjadikan rekaan lebih mesra, lebih bernafas, dan lebih mudah diterima; orang tidak takut untuk memakainya," katanya.
Mengulas mengenai gaya Gen Z yang kini lebih spontan dan ekspresif dalam mengekspresikan diri, beliau melihat perubahan ini sebagai peluang untuk memperkenalkan kembali siluet klasik dari era 70-an dan 90-an.
Katanya, beliau banyak mengambil inspirasi daripada siluet dan gaya tersebut ketika mula belajar fesyen dan menyaksikan kebangkitan ikon seperti Alexander McQueen, Tom Ford dan Gagliano.
"Itulah sebabnya saya memperkenalkan semula siluet dari 70-an dan 90-an. Gen Z mungkin gemar gaya retro, tetapi mereka tidak selalu tahu asal-usulnya. Saya mahu mereka menghargai sejarah sambil mengekspresikan diri secara moden,” jelas beliau.
Beliau menegaskan bahawa siluet klasik ini mempunyai pelbagai gaya. Menurutnya, memahami sejarah fesyen bukan hanya ikut trend, tetapi menghargai evolusi gaya dan kreativiti pereka terdahulu.
"Apabila mengikuti trend, kita juga faham rujukan di sebaliknya. Dari situ, akan lebih ingin tahu, contohnya siapa individu tertentu, bagaimana mereka mempengaruhi fesyen zaman itu," katanya.
Beliau juga melihat generasi muda kini mudah mendapat maklumat, tetapi kadang-kadang kurang minat mendalami sejarah fesyen, kerana mereka lebih fokus kepada penampilan semata-mata.
"Mereka mahu kelihatan baik, tetapi kadang-kadang tanpa tahu cerita di sebaliknya. Itu sebabnya saya rasa penting untuk memperkenalkan siluet klasik dengan cara yang relevan untuk mereka," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram