
RAMAI orang memilih untuk meletakkan telefon dalam mod senyap ketika tidur kerana mahu berehat tanpa gangguan.
Tetapi, ada kalanya satu panggilan telefon di waktu malam boleh menjadi panggilan kecemasan yang penting.
Itu cuba diingatkan seorang wanita di Threads baru-baru ini apabila beliau berkongsi kisah rakannya yang kehilangan ibu dan adik dalam kemalangan jalan raya, selepas tidak mendengar panggilan kecemasan kerana telefon diletakkan dalam mod senyap.
BACA LAGI: Threads jadi ‘port’ usahawan wanita bina 'networking', akses percuma, kolaboratif lebih luas
BACA LAGI: Kurang kasih sayang nenek, suami panas baran, anak dedah punca ibu bertahun derita sakit mental
Menurut wanita berkenaan, rakannya itu hanya menutup mobile data ketika tidur, namun pada malam kejadian beliau memilih untuk silent telefon.
Lebih memilukan, sebelum itu beliau sempat membuat panggilan video bersama ibunya.
“Kawan saya ni kalau tidur, beliau biasanya tutup data je, telefon tidak silent. Tapi ada sekali tu, beliau tiba-tiba nak letak telefon dalam mod senyap sebab tak nak ada gangguan semasa tidur.
"Sebelum tu beliau baru je lepas buat panggilan telefo video dengan maknya,” katanya.
Keesokan paginya sekitar pukul 6.30, rakannya terkejut apabila mendapati terdapat ratusan panggilan tidak dijawab dan mesej daripada ahli keluarga dan saudara mara.
“Beliau nak tengok jam je kononnya. Tapi yang buat beliau lagi terkejut sebab ada banyak sangat notifikasi dan beratus panggilan serta mesej dari keluarga dengan sedara maranya,” tulisnya lagi.
Rupa-rupanya, pada pukul 11 malam, ibu dan adik-adiknya terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung.
Salah seorang adiknya yang masih sedar ketika itu cuba menghubungi berulang kali untuk meminta pertolongan.
“Lebih kurang macam ni la ayatnya, saya pun ingat-ingat lupa. ‘Kak Long, angkat la panggilan. Kami kemalangan ni. Jalan gelap. Mak tak sedar. Angah tak tahu nak buat apa dah ni. Tak ada orang datang tolong pun’” katanya.
Tragedi itu mengorbankan ibu mangsa di tempat kejadian manakala adik bongsunya meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Hanya seorang adik terselamat.
Wanita itu berkata, sehingga kini rakannya amat terkilan kerana menjadi orang terakhir mengetahui kejadian itu hanya kerana telefon diletakkan dalam mod senyap. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram