
TRAGEDI kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina yang dipercayai menjadi mangsa buli sehingga meninggal dunia kini memasuki proses perundangan di mahkamah.
Pada awalnya, tumpuan orang ramai lebih terarah kepada peguam terkenal, Datuk Ram Singh yang dilantik sebagai peguam bela bagi salah seorang daripada lima remaja tertuduh.
Kehadiran Ram Singh mencuri perhatian kerana beliau sinonim dengan status sebagai peguam ‘mahal’ yang sering dikaitkan dengan kes berprofil tinggi.
Namun, di sebalik sorotan itu, nama Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Nor Azizah Mohamed turut menjadi bualan hangat dalam kalangan warga maya selepas pengguna Threads, Siti Aishah mendedahkan rekod pencapaian beliau.
“Ram Singh memang peguam hebat. Tapi cuba semak siapa TPR yang wakili arwah Zara? Nor Azizah Mohamed. Orang sama menang straight set di tiga mahkamah termasuk kes Bella,” tulisnya.
Nor Azizah bukanlah nama asing dalam dunia perundangan negara.
Beliau sebelum ini mengendalikan kes penderaan kanak-kanak sindrom Down, Bella melibatkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.
Hasil ketegasan dan strategi pendakwaan beliau, sabitan bersalah terhadap Siti Bainun berjaya dikekalkan sehingga ke Mahkamah Rayuan.
Selain itu, beliau juga merupakan pendakwa utama dalam kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew, yang masih dalam proses perbicaraan.
Kehadiran beliau dalam kes-kes berprofil tinggi itu mengukuhkan reputasi sebagai seorang pendakwa tegas, berpengalaman serta berwibawa.
Peranan kes Zara Qairina
Pada prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu, Nor Azizah tampil sebagai TPR yang mengendalikan pendakwaan terhadap lima remaja tertuduh.
Dalam prosiding itu, beliau mengesahkan bahawa pihak pembelaan melalui peguam Ram Singh memohon gag order (perintah larangan bersuara) agar identiti tertuduh dilindungi.
Beliau turut memaklumkan kepada media bahawa kelima-lima remaja berkenaan telah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara.
Hakim kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan deposit RM1,000 dan seorang penjamin.
Seorang lagi pengguna media sosial, Suha Syareef menyifatkan Nor Azizah sebagai seorang pendakwa iron lady yang lantang berhujah di mahkamah.
“Beliau bukan calang-calang pegawai pendakwa. Banyak pengalaman kendali kes kanak-kanak, malah sanggup turun padang sehingga ke Sabah. Dalam mahkamah, beliau tidak berhujah kosong iaitu lengkap dengan bukti dan saksi,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram