
“MACAM mana kita sebagai ibu bapa nak hantar anak ke sekolah kalau tak ada kepercayaan?"
Itulah persoalan lantang pelakon terkenal, Nora Danish, susulan kes kematian tragis pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang didakwa berpunca daripada buli di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah.
Sebagai seorang ibu yang turut menghantar anak bersekolah asrama, Nora mengakui kes itu menimbulkan persoalan serius tentang tahap keselamatan pelajar di sekolah.
"Kerisauan kita sebagai ibu bapa adalah nak pastikan sekolah yang dipilih boleh dipercayai dan sistem keselamatannya kuat.
"Saya harap kes ini membuka mata semua pihak iaitu ibu bapa, sekolah, guru, kakitangan dan pihak berkuasa untuk bersatu menyelesaikan masalah buli secara telus," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Lukisan momen di Restoran Haji Tapah ubati kerinduan pada arwah isteri
BACA LAGI: Kecewa sikap saudara-mara 'melantak' lauk kenduri akikah sampai licin, tak ingat orang belakang
Nora berkata, sudah tiba masanya setiap sekolah mewujudkan sistem aduan yang kuat dan mesra pelajar supaya mangsa buli tidak takut untuk bersuara.
“Kalau sistem aduan lemah, murid akan terus berdiam diri. Macam mana kita nak percaya hantar anak ke sekolah kalau keselamatan mereka diragui?” katanya.
Bagi Nora, kebimbangan terhadap isu buli bukan hanya terhad kepada sekolah berasrama sahaja, tetapi juga di sekolah biasa.
“Of course takut. Jangan kata sekolah asrama, sekolah biasa pun kita risau. Kadang anak takut nak bersuara, takut cikgu marah. Saya percaya banyak lagi kes yang berlaku tapi tidak dilaporkan,” katanya.
Beliau berkata, ibu bapa perlu sentiasa memantau perkembangan anak di sekolah dan mengambil berat setiap perubahan yang berlaku.
“Saya selalu tanya anak, sekolah macam mana. Pernah masa Rayqal kecil, saya nampak baju sekolah dia berconteng. Kita sebagai ibu bapa kena ambil berat. Isu buli tak boleh dianggap remeh kerana ia boleh membawa kepada tragedi lebih besar,” katanya.
Pada 16 Julai lepas, Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, namun disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mendapat liputan meluas selepas kematiannya didakwa dikaitkan dengan perbuatan buli di sekolah tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram