
ISTANA Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak pada Ahad malam menjadi saksi kepada penyatuan cinta diraja apabila Yang Teramat Mulia (YTM) Raja Kecil Sulong Perak, Raja Datuk Seri Ahmad Nazim Azlan Shah ibni Almarhum Raja Datuk Seri Ashman Shah selamat bergelar suami kepada Cik Puan Nadia Esham.
Pasangan mempelai tampil memukau dalam persalinan tradisional Melayu berwarna kuning keemasan yang melambangkan kemuliaan dan keagungan institusi raja.
Raja Ahmad Nazim kelihatan segak bertanjak dan lengkap bersamping songket, manakala Cik Puan Nadia mempesona dengan kebaya songket disempurnakan mahkota permaisuri dan sejambak bunga merah yang menambah seri.
BACA LAGI: [VIDEO] Busana putih, solekan natural serlah seri pengantin 'puteri' kesayangan Tiara Jacquelina
Majlis Santapan Diraja itu diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah; dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin.
Menerusi hantaran di Instagram, Saarani memuat naik momen menghadiri majlis persandingan diraja itu.
“Memenuhi undangan ke Majlis Santapan Diraja Perkahwinan YTM Raja Kecil Sulong Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar malam tadi.
"Tahniah Yang Mulia Datuk Seri Noraini Jane Tan Sri Kamarul Ariffin atas menerima menantu baharu.
"Semoga perkahwinan ini akan sentiasa disulami kasih sayang yang berpanjangan, dikurniakan keberkatan dan kebahagiaan hingga ke akhir hayat. Amin Ya Rabbal Alamin," katanya.
Dalam pada itu, akaun Instagram @malaysia.royalfamily, turut memuat naik rakaman video dan gambar eksklusif sekitar majlis yang memaparkan detik mesra pasangan mempelai bersama kerabat dan tetamu kehormat.
"Ucapan tahniah kepada Raja Ahmad Nazim Azlan Shah dan pasangan Cik Puan Nadia," katanya.
YTM Raja Kecil Sulong Perak merupakan anakanda kepada Almarhum Raja Ashman Shah dan YTM Dato’ Seri Noraini Jane. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram