Kali pertama sertai KLFW, Levi's angkat 13 pereka muda hasilkan rekaan berasaskan denim


  • Gaya
  • Rabu, 13 Ogos 2025

Antara rekaan yang ditampilkan oleh Levi's di KLFW 2025 baru-baru ini. — Instagram/@akudesign & @thezulvanny

JENAMA fesyen denim antarabangsa, Levi's buat julung kalinya menyertai Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2025 menerusi inisiatif Levi's Designer Feature yang memberi tumpuan kepada pereka fesyen generasi baharu Malaysia.

Acara tersebut menghimpunkan 13 pereka muda tempatan daripada pelbagai latar belakang iaitu AKUDESIGN, Andrew Charles, Daniel Ong, Fairuz Ramdan, Hasz Hishaam, Mei Xuan, Masyadi Mansoor (MSYD), Natasha Khan, Oscar Lee (OUTDWELL), Russell Chin, Salahuddin Hilmi, SOOCHIENYEOL dan Zaff Ben Jibby.

Kesemua mereka diberi cabaran mengolah semula ikon Levi's seperti seluar jeans 501, jaket Trucker dan kemeja selain beberapa helaian lain, menjadi rekaan baharu yang segar dan kontemporari.

BACA LAGI: Suite hotel tema 'Clueless' lengkap almari ‘Cher-approved’, bangkit nostalgia 1990-an

BACA LAGI: [VIDEO] Fattah, Amirah berhujan, gigil kesejukan jalani 'shooting' di New Zealand

Penampilan sulung Levi's di KLFW menampilkan 13 pereka muda dengan 26 rekaan. — Instagram/@thezulvanny

Bertemakan 'Denim Menerusi Lensa Baharu', para pereka menampilkan gabungan teknik berani, siluet eksperimental, elemen gaya jalanan, sentuhan utilitarian dan estetika avant-garde.

Ketua Pemasaran Levi's Asia Pasifik, Herve Bullot berkata, penyertaan ini mencerminkan komitmen jenama tersebut untuk memupuk bakat tempatan dan memberi peluang kepada pereka muda mentafsir koleki Levi's mengikut identiti mereka sendiri.

"Sebagai jenama yang berteraskan aspek keaslian dan ekspresi diri, Levi’s berbangga untuk terbabit dalam KLFW 2025 dan menjadi tunjang untuk pereka fesyen generasi seterusnya," katanya.

Selain itu, Levi's turut memperkenalkan koleksi musim luruh/dingin 2025 bagi siri 'Levi's Icons' yang menggabungkan warisan jenama dengan inovasi moden.

Koleksi Wanita menampilkan potongan santai berinspirasikan vintaj melalui siri 501 dan 901, manakala koleksi lelaki mengekalkan 501 Original sebagai rekaan utama.

Turut diperkenalkan ialah 501 Thermodapt dengan teknologi denim yang menyesuaikan suhu bagi keselesaan sepanjang musim. Koleksi 'Levi’s Icons' boleh didapati di laman web levi.com.my dan semua butik Levi’s di seluruh negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram