'Kalau tanya, dia kira sampai jam, minit', Michelle Yeoh dedah suami hitung cinta mereka dalam hari, bukan tahun


  • Cinta
  • Rabu, 20 Ogos 2025

Pasangan ini menyambut ulang tahun perkahwinan yang kedua pada 27 Julai lalu. — Instagram/@michelleyeoh_official

PELAKON Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh baru-baru ini bercerita tentang suaminya, Jean Todt menerusi satu temu bual bersama majalah People yang disifatkan sebagai seorang yang romantik.

“Beliau tidak kira mengikut tahun. Beliau akan kata kami sudah bersama lebih 7,000 hari. Kalau saya betul-betul tanya, beliau boleh kira sampai jam dan minit juga,” kata pemenang anugerah Oscar itu.

Michelle dan Jean bertunang selama 19 tahun sebelum berkahwin pada 2023. Pasangan itu baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang kedua pada 27 Julai lalu.

BACA LAGI: Duduki carta ke-93, Yahya antara nama bayi lelaki Islamik paling popular di UK

BACA LAGI: Tampil 'avant-garde' di acara fesyen, hak masing-masing ekspresi diri atau bergaya perlu ada batas?

“Kami sudah bersama selama 21 tahun dan berkahwin selama dua tahun,” katanya ketika mempromosikan projek terbaharunya, Ne Zha 2, sebuah filem blockbuster China yang menampilkan suara beliau.

Pelakon berusia 63 tahun itu juga mengakui berasa sangat bertuah kerana mempunyai pasangan seperti Jean yang memahami jadual kerjanya yang sibuk.

“aaya sangat bersyukur kerana beliau sentiasa menyokong apa yang saya lakukan. Saya cintakan kerja saya. Ini adalah minat saya,” jelasnya yang bakal kembali melakonkan watak Madame Morrible dalam Wicked 2 pada hujung tahun ini.

Michelle turut berkongsi bahawa suaminya sentiasa bersikap matang dan memahami walaupun kerjayanya sering membuatkan mereka berjauhan.

“Beliau tidak pernah mengeluh atau berkata saya terlalu banyak luangkan masa berjauhan daripadanya walaupun memang ada masanya begitu. Beliau sangat memahami.

“malah, pada hari ulang tahun perkahwinan kami, saya sebenarnya sedang berada di dalam penerbangan,” tambahnya. — The Star/THE ENTERTAINMENT TEAM

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram