Warna ceria, corak meriah, Bayu Somerset beri ruang penggemar fesyen bereksperimen


  • Gaya
  • Sabtu, 12 Jul 2025

Bayu Somerset kekal dengan rekaan ringkas yang diketengahkan melalui warna-warna terang dan corak floral. — Instagram/@bayusomerset

TIDAK semua individu berani menggayakan warna terang atau corak yang menonjol, apatah lagi ketika aliran fesyen semasa lebih cenderung kepada gaya minimalis dan palet warna neutral.

Namun, Bayu Somerset tampil dengan pendekatan berbeza.

Jenama ini bukan sekadar menawarkan pakaian moden, kurung serta kebaya; Bayu Somerset turut membuka ruang kepada pelanggan untuk mencuba sesuatu yang luar kebiasaan dalam penampilan harian.

Rekaan penuh corak dengan letusan pancawarna, peminat Bayu Somerset boleh mengekspresikan diri mengikut gaya tersendiri tanpa perlu terikat dengan trend semasa.

BACA LAGI: [VIDEO] Lapik meja, alas kaki warna-warni cantuman kain perca hasil sentuhan suri rumah Kota Damansara

BACA LAGI: Michelle Yeoh suara latar watak ibu dalam filem animasi Ne Zha 2, catat rekod kutipan tiket RM4.7 bilion di China dalam masa 2 minggu

Motif floral dan warna yang ceria menjadi identiti Bayu Somerset. — Instagram/@bayusomerset

Identiti berani 

Menurut Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul Arifin, sejak penubuhannya hampir empat tahun lalu, jenama ini sememangnya dirancang untuk tampil berbeza daripada jenama tempatan yang lain.

“Kami kekalkan elemen tradisional dalam rekaan, namun diserlahkan dengan suntikan warna-warna ceria dan corak yang segar,” katanya dalam temu bual eksklusif Majoriti

Meskipun pasaran kini dipenuhi jenama yang mengutamakan gaya minimal dan tona lembut, Bayu Somerset kekal konsisten dengan pendekatannya yang lebih menonjol dan berani.

“Apa yang kami mahu ialah pelanggan rasa yakin, selesa dan gembira ketika mengenakan pakaian dari Bayu Somerset,” jelasnya.

Warna dan floral 

Dari sudut visual pula, corak floral dan warna-warna terang dikenal pasti sebagai identiti utama rekaan Bayu Somerset.

Menurut Dania, pelanggan sudah mula mengenal pasti jenama ini melalui ciri-ciri tersebut yang sering menjadi pilihan dalam setiap koleksi.

“Jika terlihat rekaan yang penuh warna dan motif bunga, besar kemungkinan ia adalah koleksi daripada Bayu Somerset. Corak floral memang antara yang paling mendapat sambutan,” katanya.

Walaupun potongan pakaian Bayu Somerset lebih kepada potongan gaya yang praktikal, kekuatan jenama ini terletak pada tumpuan terhadap corak dan warna dalam setiap koleksi yang baru dikeluarkan.

“Memang kami beri fokus pada motif kain selain warna ceria. Semua rekaan kami dihasilkan oleh pereka ilustrasi dalaman kami sendiri. Setiap koleksi dirancang dengan konsep yang jelas,” kata Dania.

Tudung dan topi bucket dengan corak ceria melengkapkan identiti gaya Bayu Somerset yang versatil dan mudah digayakan. — Instagram/@bayusomerset

Eksperimentasi gaya

Menariknya, rekaan Bayu Somerset bukan sahaja berani dari segi warna, malah mudah digayakan dalam pelbagai cara.

Rekaan asas seperti kurung Kedah dan potongan longgar yang praktikal memberi ruang kepada pelanggan untuk memadankan pakaian mengikut kreativiti masing-masing.

Ada yang memilih untuk menggayakan kurung sebagai blaus bersama seluar denim, manakala ada yang memadankan skirt bercorak dengan kemeja polos, sekali gus membuktikan setiap helaian boleh digayakan secara kasual mahupun formal.

“Kami melihat pelanggan kami sangat kreatif dan berani mencuba. Kami sendiri berasa teruja apabila melihat bagaimana mereka memadankan pakaian kami dengan gaya yang unik,” ujar Dania.

Selain pakaian, Bayu Somerset turut menawarkan pelbagai aksesori seperti tudung dan topi bucket sebagai pelengkap gaya.

Kepelbagaian ini membolehkan pelanggan mencipta penampilan tersendiri mengikut citarasa dan keperluan.

“Set padanan dibuat sebenarnya cara kami untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan,” kata Dania.

Fokus tiga prinsip utama

Bagi memastikan nilai jenama dikekalkan, Bayu Somerset berpegang pada tiga prinsip utama dalam setiap koleksi yang dihasilkan, iaitu harga berpatutan, corak yang menarik dan keselesaan.

Ketiga-tiga aspek tersebut menjadi kekuatan jenama tersebut dalam menarik pelanggan dari pelbagai latar belakang.

“Kami menyedari terdapat jurang dalam pasaran tempatan di mana kebanyakan jenama menawarkan harga tinggi," katanya.

Disebabkan itu, Bayu Somerset bukan sahaja menjadi pilihan ketika musim perayaan, tetapi terus mendapat permintaan untuk kegunaan harian.

Menurut Dania, majoriti pelanggan mereka terdiri daripada wanita dewasa yang bekerja, termasuk dalam kalangan pendidik dan penjawat awam.

 

 

Kekuatan visual

Pendekatan pemasaran Bayu Somerset turut mencerminkan identitinya sebagai jenama yang berani dan moden.

Walaupun pelanggan utamanya terdiri daripada wanita dewasa, strategi komunikasi yang digunakan tampil segar dan mengikut cita rasa terkini, sekali gus berjaya menarik perhatian pelbagai peringkat usia.

“Kami berusaha untuk tampil berbeza dari segi gaya komunikasi. Visual dan mesej yang kami sampaikan lebih segar dan dekat dengan audiens,” jelas Dania mengakhiri temu bual.