Individu nama pendek, ringkas cepat naik pangkat, buka banyak peluang, perlu bijak pilih nama anak


  • Bonda
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Nama yang dipilih buat anak boleh mempengaruhi kehidupan sosial, akademik dan kerjayanya. — Gambar Hiasan

NAMA bukan sekadar panggilan, tetapi mampu mempengaruhi bagaimana seseorang dilihat dalam kehidupan sosial, akademik dan kerjaya. 

Kajian antarabangsa menunjukkan nama yang terlalu panjang atau sukar disebut boleh membawa pelbagai kesan negatif.

Kajian diterbitkan dalam Journal of Experimental Social Psychology mendapati nama yang mudah disebut lebih disukai, dipercayai dan cenderung memberi kelebihan dalam hubungan profesional.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Macam mana nak hantar anak ke sekolah kalau tiada kepercayaan?', Nora gesa sekolah perketat keselamatan, wujudkan sistem aduan buli berkesan

BACA LAGI: [VIDEO] Pesona perkahwinan diraja anak saudara Sultan Perak, pasangan mempelai segak, anggun gayakan persalinan songket kuning keemasan

Happy cheerful Asian family dad, mom and daughter playing funny game as doctor having fun on sofa at home. Self-isolation, stay at home, social distancing, quarantine for coronavirus prevention.

Ibu bapa perlu memilih nama yang terbaik untuk anak mereka. — Gambar hiasan

Malah, analisis terhadap lebih 500 peguam di Amerika Syarikat menunjukkan mereka yang mempunyai nama ringkas dan senang disebut berpeluang lebih cepat naik pangkat berbanding rakan sejawatan namanya lebih sukar diingati.

Dalam satu lagi penyelidikan yang diterbitkan dalam The Guardian, graduan PhD ekonomi yang memiliki nama sukar disebut didapati kurang berpeluang memperoleh jawatan akademik di universiti ternama. 

Malah, nama pertama yang sukar disebut memberi impak negatif sehingga tiga kali ganda lebih besar berbanding nama keluarga.

Selain itu, beberapa kajian pasaran kerja mendedahkan pemohon yang mempunyai nama dianggap asing atau terlalu kompleks perlu menghantar lebih banyak permohonan untuk mendapat maklum balas berbanding pemohon dengan nama lebih biasa.

Dari sudut praktikal, nama terlalu panjang boleh mendatangkan masalah teknikal seperti tidak muat dalam borang rasmi, mudah tersalah eja, serta menyukarkan urusan dokumen antarabangsa. 

Beban emosi juga boleh timbul apabila seseorang kerap berdepan salah sebutan.

Pastinya ramai ibu bapa ingin memberikan nama anak yang panjang, unik dan sarat makna. — Gambar hiasan

Cadangan kepada ibu bapa

Public Health Malaysia (PHM) dalam satu hantaran di Facebook menasihatkan ibu bapa agar bijak memilih nama anak dengan mengambil kira faktor jangka panjang.

Antara saranan yang boleh dipertimbangkan oleh ibu bapa ketika memilih nama anak ialah:

1. Pilih nama sederhana panjang

Dua hingga tiga perkataan sudah memadai untuk membawa makna tanpa membebankan anak.

2. Mudah disebut

Elak kombinasi huruf yang terlalu pelik atau jarang digunakan agar tidak menyulitkan orang lain ketika menyebutnya.

3. Pertimbangkan nama panggilan 

Pilih nama yang mempunyai versi ringkas dan mesra digunakan dalam kehidupan harian.

4. Fikir jangka panjang 

Bayangkan bagaimana anak akan menggunakan nama tersebut di sekolah, universiti, tempat kerja atau ketika berurusan dengan dokumen rasmi.

5. Utamakan makna 

Doa dan harapan tetap boleh tersimpan dalam nama yang ringkas, asalkan membawa maksud yang baik.

“Nama ialah doa dan identiti sepanjang hayat. Ringkas, mudah disebut dan mudah diingat lebih baik untuk memudahkan perjalanan hidup anak,” kata PHM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram