Anak tak fasih cakap Melayu? Wanita ini bangga ajar anak berbahasa Malaysia setiap hari walaupun tinggal di Dubai


  • Cinta
  • Khamis, 14 Ogos 2025

Kanak-kanak perlulah mengetahui cara bertutur dan menulis di dalam bahasa Melayu. — Gambar Hiasan

PERDEBATAN mengenai kepentingan mengajar anak bertutur dalam bahasa kebangsaan tercetus di media sosial selepas seorang wanita, Hanani mempersoalkan sikap segelintir ibu bapa Melayu yang berbangga apabila anak mereka tidak fasih berbahasa Melayu.

Dalam hantarannya di laman Threads, Hanani menyifatkan perkara itu sukar difahami khususnya apabila kedua-dua ibu bapa berbangsa Melayu dan tinggal di Malaysia.

“Bangga mengatakan ‘Anak saya tidak fasih berbahasa Melayu’, saya tidak faham, lebih-lebih lagi jika mahu menghantar anak ke sekolah kebangsaan.

"Saya faham jika salah seorang pasangan bukan rakyat Malaysia atau anak mempunyai keperluan khas, tetapi jika anak normal, apa salahnya diajar bahasa ibunda?” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Busana putih, solekan natural serlah seri pengantin 'puteri' kesayangan Tiara Jacquelina

BACA LAGI: [VIDEO] Tengku Puteri Afzan berbusana 'Sulam Ayak Kerawang', Fiziwoo serlahkan keanggunan warisan diraja

Isu itu menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang tampil berkongsi pandangan dan pengalaman masing-masing.

Seorang wanita Melayu yang menetap di luar negara, Meme Khlustikova berkata, dia sentiasa memastikan anaknya dapat bertutur dalam bahasa Melayu setiap hari.

"Saya Melayu, kahwin dengan lelaki Rusia dan tinggal di Dubai. Hari-hari communicate dengan suami dalam bahasa Inggeris, tetapi saya akan pastikan saya bercakap BM dengan anak hari-hari, contoh menerusi video call dengan nenek dan tok ayah mereka. 

"Saya berbangga apabila anak memahami bahasa Melayu, showing that I dont forget my roots wherever I go," katanya. 

Asian cute boy doing his school homework with his mother, at home, he is writing on a book

Ramai berpendapat ibu bapa perlu memartabatkan bahasa Melayu, terutamanya ketika anak masih di peringkat awal perkembangan. — Gambar Hiasan

Seorang lagi pengguna, Zalikhaanas berkata, bekerja dalam persekitaran antarabangsa membuatkan beliau semakin menghargai bahasa ibunda.

“Hampir setiap hari saya perlu bercakap dalam bahasa Inggeris. Tetapi apabila bertemu rakan sekerja Malaysia, walaupun bukan Melayu, peluang berbual dalam bahasa Melayu memberi rasa lega dan kedekatan yang tidak boleh diganti,” katanya.

Sementara itu, Alirfan Husstle yang berasal daripada keluarga Melanau dan Punjabi menegaskan bahawa bahasa Melayu tetap menjadi bahasa pertama untuk anak-anaknya.

“Ini asas sebagai rakyat Malaysia. Selepas mereka menguasai bahasa Melayu, barulah kami perkenalkan bahasa lain,” katanya.

Namun, ada juga yang melihat penguasaan bahasa Inggeris sebagai keutamaan. 

Seorang pengguna, Notphinished berkata, anak-anaknya yang bersekolah antarabangsa lebih selesa berbahasa Inggeris.

“Bagi saya, selagi mereka beradab, menjaga solat dan menjadi insan yang baik, bahasa hanyalah alat komunikasi,” katanya.

Bagi Fadhadriana, mengajar bahasa Melayu terlebih dahulu tidak bermakna menolak bahasa Inggeris.

“Saya mahu anak fasih bahasa Melayu dahulu sebelum belajar bahasa lain. Sekarang, dia dapat menguasai kedua-duanya dengan baik,” katanya.

Sementara itu, SNura Halim berkongsi kisah mendengar anaknya menggunakan perkataan bahasa Sarawak bagi kapal terbang pernah disambut dengan ejekan oleh orang sekeliling.

“Bagi sesetengah orang ia mungkin gurauan, tetapi bagi saya ia menunjukkan kurangnya penghargaan terhadap bahasa sendiri,” katanya.

Perbincangan itu memperlihatkan perbezaan pendekatan ibu bapa, namun majoriti bersetuju bahawa bahasa Melayu tetap penting sebagai identiti dan warisan, sama ada di tanah air mahupun di luar negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram