Bimbang risiko CCRIS, CTOS, wanita dilema diminta jadi penjamin 'loan' kereta untuk ahli keluarga


  • Cinta
  • Ahad, 17 Ogos 2025

Wanita buntu apabila ada di antara ahli keluarga yang meminta untuk menggunakan namanya bagi pembelian kereta.

SANGGUPKAH anda menggadaikan masa depan dari sudut kewangan hanya kerana mahu membantu adik-beradik? 

Itulah dilema dihadapi seorang wanita apabila ada antara ahli keluarga yang meminta untuk menggunakan namanya sebagai penjamin bagi pembelian kereta.

Dalam satu hantaran di laman Threads, seorang pengguna, Wani Haidar meluahkan rasa bimbang sekiranya pinjaman itu tidak dibayar, namanya akan disenaraihitamkan dalam sistem Central Credit Reference Information System (CCRIS) atau Credit Tip-Off Service (CTOS), sekali gus menjejaskan masa depannya untuk membuat pinjaman rumah kedua.

“Orang cakap hubungan adik-beradik pun boleh putus sebab guna loan nama kita… so macam mana nak tolak cara halus tanpa kecilkan hati dia? Saya risau nanti nama saya kena blacklist,” tulisnya.

Luahan itu menarik perhatian warga maya yang tampil memberi pelbagai pandangan.

Ada yang menasihatkan supaya Wani bertegas menolak, manakala sebahagian lagi menekankan nilai kekeluargaan.

Seorang pengguna, Jalilmustafah menasihatkan supaya kereta dibeli secara tunai bawah RM10,000.

“Bank tolak nama dia sebab memang dah kira kemampuan. Kalau awak sanggup, perjalanan hidup awak yang akan rosak nanti. Esok lusa bila dia ada masalah lain, duit akan ke situ, bukan bayar hutang kereta,” katanya.

Pengguna lain, Brocar11 pula beranggapan pengalaman melihat ramai individu 'terjerat’ gara-gara memberi pinjaman nama sudah cukup untuk dijadikan pengajaran.

“Jangan bagi. Cakap saja akak nak buat loan pun tak lepas. Cuckoo dua tahun tak bayar pun dah jadi masalah besar,” ujarnya.

Namun, Anasmma9 berpendapat pertolongan keluarga tetap perlu diutamakan.

“Walau macam mana pun, tetap darah daging. Kalau kita kejar akhirat, dunia pun dapat. InshaAllah dipermudahkan,” katanya.

Sementara itu, Khairulnazri96 menasihatkan Wani untuk berterus terang bagi mengelak risiko di kemudian hari.

“Kalau bab lain boleh tolong, tapi bab jadi penjamin ini besar risikonya kalau tak bayar,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram