
PEREKA fesyen berbakat, Jeffery Goh sekali lagi membuktikan sentuhannya mampu meraih perhatian ramai apabila menghasilkan Iconic Rose Dress khas untuk penampilan pelakon, Sarimah Ibrahim di pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) pada Jumaat.
Menerusi perkongsian di Instagram, Jeffery memaparkan detik-detik di sebalik tabir pembikinan gaun tersebut bermula dari helaian kain merah yang dipotong, dibakar sedikit pada bahagian tepi bagi menghasilkan kelopak seakan-akan bunga ros sebenar hinggalah ke proses mencantumkannya pada busana.
Setiap kuntum ros dihasilkan sepenuhnya dengan tangan, terdiri daripada 18 kelopak dan mengambil masa sekitar 20 minit untuk disiapkan.
“Ada lebih kurang 60 kuntum ros pada gaun ini, jadi anda boleh kira sendiri berapa lama masa yang diambil,” kata Jeffery sambil menunjukkan rakaman proses hand-stitch di bahagian bahu dan belakang busana.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Anak yang buat mummy nak ada baby sendiri', Watie titip ucapan hari jadi buat Ayash
Tidak hanya itu, Jeffery mendedahkan dirinya terpaksa menambah kuntuman ros pada saat-saat akhir demi memastikan rekaan itu tampil sempurna di pentas.
“Saya rasa belum cukup cantik, jadi kami buat bunga-bunga kecil tambahan. Pekerja saya, Alia Niana juga membantu menyiapkan kelopak,” katanya.
Walaupun berdepan cabaran seperti gangguan bekalan elektrik secara tiba-tiba dan tempoh masa yang singkat, Jeffery menganggap pengalaman itu amat berharga, apatah lagi dapat bekerjasama dengan figura seperti Sarimah.
“Saya rasa busana ini memang ditakdirkan untuk beliau. Dia membawanya dengan penuh gaya,” kata Jeffery.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memuji hasil kerja tersebut.
“Wow! Itu usaha yang luar biasa. Dan tengoklah keseluruhan busana sangat cantik! Sesuai dengan aura Sarimah yang classy,” tulis Eva Nurkasih.
Sarimah sendiri turut meluahkan rasa kagum terhadap butiran dan potongan busana tersebut.
“The detail, the cut and the flow, saya suka,” tulisnya ringkas namun penuh makna.
Dalam hantaran berasingan, Sarimah memuat naik gambar ketika beraksi di pentas.
"Walking for KLFW in Jeffrey Goh for Women Of Worth," katanya.
Dengan rekaan mewah penuh ketelitian, Iconic Rose Dress bukan sekadar sebuah busana, tetapi sebuah karya seni yang menggabungkan kesabaran, kreativiti dan jiwa seorang pereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram