
PELAKON terkenal, Ayda Jebat tampil berkongsi pengalaman peribadi yang pernah dilaluinya ketika bersekolah dahulu selepas membaca tentang kes kematian tragis pelajar perempuan di Sabah baru-baru ini.
Melalui satu hantaran di laman Threads, Ayda meluahkan rasa sedih dan simpati terhadap nasib Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, yang ditemui meninggal dunia dipercayai selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah pada 17 Julai lalu.
Tersentuh dengan kejadian tersebut, Ayda berkongsi pengalaman pahit yang pernah menggugat emosi dan kestabilan dirinya semasa di Tingkatan 1.
Ketika itu, dia menjadi sasaran perhatian pelajar atasan di sekolah sehingga membuatkan dia berasa takut untuk hadir ke kelas dan mengikuti sesi pembelajaran.
“Saya sekolah di sebuah sekolah perempuan yang popular dan terkenal dengan pelajar cemerlang. Tapi saya hanya bertahan tak sampai setahun. Tak tahan mental! Kena ngorat dengan kakak-kakak senior sampai hilang fokus belajar,” katanya.
Menurut Ayda, seorang pengawas yang lebih tua sering memberi perhatian, memberi hadiah dan menulis surat cinta kepadanya hampir setiap hari.
Keadaan menjadi semakin serius apabila dia diminta untuk tidak melayan orang lain, malah diugut secara halus.
“Kakak ni tunggu saya depan kelas setiap waktu rehat. Saya sampai sanggup keluar tandas 5 minit awal daripada waktu rehat. Saya minta kawan saya belikan makanan dan saya makan dalam tandas sebab takut gila,” katanya.
Ayda berkata, walaupun berat untuk berterus-terang kepada ibunya yang ketika itu merupakan ibu tunggal, akhirnya dia memberanikan diri menceritakan segala-galanya termasuk menunjukkan semua surat dan hadiah yang diterima.
Pada awalnya, ibunya menganggap perkara itu hal biasa, tetapi selepas Ayda berkongsi lebih banyak insiden termasuk perasaan tidak selamat di sekolah dan pengaruh rakan sebaya, dia segera mengambil tindakan untuk memindahkannya ke sekolah lain.
“Mula-mula saya beritahu pengetua alasan sebab jauh dari rumah sahaja, tetapi pengetua tetap berkeras agar saya tak pindah.
"Saya terpaksa jujur beritahu pengetua yang sekolah itu banyak lesbian. Saya tunjukkan segala bukti, selepas tu pengetua terus setuju untuk pindahkan saya," katanya.
Ayda turut menyeru agar pelajar yang mengalami situasi sama tidak berdiam diri dan segera memaklumkan kepada ibu bapa atau pihak sekolah.
“Adik-adik, kalau ada kejadian walaupun kecil, tolong bagitau mak ayah. Zaman sekarang, budak-budak makin berani. Tolong jangan simpan," katanya.
Beliau turut mengungkapkan harapannya agar kes kematian Zara mendapat keadilan sewajarnya dan menjadi pengajaran buat semua pihak agar lebih peka terhadap isu buli dan keselamatan pelajar di sekolah.
Untuk rekod, kes kematian Zara, pelajar Tingkatan 1 sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, mencetuskan kebimbangan masyarakat apabila dikaitkan dengan insiden buli.
Kementerian Pendidikan Malaysia sebelum ini memaklumkan siasatan sedang dijalankan secara telus dan adil bagi merungkai punca sebenar kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram