
ISU pembahagian harta pusaka sering kali menimbulkan kekeliruan terutama apabila melibatkan wasiat yang dibuat oleh si mati.
Baru-baru ini, seorang anak meluahkan persoalan di media sosial berhubung pembahagian barang kemas peninggalan ibunya yang telah meninggal dunia.
Arwah dikatakan meninggalkan surat wasiat yang menggariskan pembahagian barang kemas tersebut kepada anak-anak tertentu secara berbeza-beza.
BACA LAGI: [VIDEO] Busana putih, solekan natural serlah seri pengantin 'puteri' kesayangan Tiara Jacquelina
Persoalannya, adakah hukum faraid masih terpakai sekiranya seluruh harta telah diwasiatkan kepada salah seorang anak atau pewaris?
Selain itu, adakah pelantikan peguam diperlukan bagi menguruskan pembahagian harta warisan?
Mengulas persoalan tersebut, Peguam Syarie, Nur Syuhada Adnan menjelaskan bahawa kita perlu memahami terlebih dahulu konsep faraid dan wasiat dalam Islam.
Menurut beliau, faraid merupakan aturan pembahagian harta pusaka yang telah ditetapkan secara jelas dalam al-Quran, yang menentukan bahagian untuk ibu, isteri, anak-anak dan waris lain.
“Wasiat pula hanya dibenarkan sebanyak satu pertiga sahaja daripada jumlah harta untuk diberikan kepada bukan ahli waris atau waris,” katanya kepada Majoriti.
Ini bermakna, jika si mati membuat wasiat melebihi satu pertiga harta, pembahagian tersebut tidak sah menurut hukum syarak.
Dalam kes yang dibangkitkan itu, arwah ibu telah menulis wasiat untuk membahagikan barang kemas secara spesifik kepada anak-anaknya dan kesemua anak menerima pembahagian tersebut.
“Sekiranya semua pihak bersetuju dengan pembahagian wasiat itu, maka wasiat tersebut boleh dilaksanakan.
"Namun, jika ada pihak yang tidak bersetuju, pembahagian wasiat tersebut terbatal dan pembahagian akan kembali kepada hukum faraid yang lebih adil,” katanya.
Nur Syuhada Adnan menjelaskan tentang pembahagian harta pusaka.
Mengenai pelantikan peguam, beliau menyarankan agar waris melantik peguam untuk memudahkan urusan pembahagian harta pusaka terutama bagi harta bernilai tinggi seperti rumah dan tanah.
Ini kerana kebanyakan orang awam kurang mahir dalam prosedur undang-undang berkaitan harta pusaka.
“Peguam akan membantu menentukan sama ada kes perlu diselesaikan melalui proses pusaka kecil, Amanah Raya, atau mahkamah tinggi.
"Contohnya, harta sepencarian atau harta pusaka bernilai tinggi memang disarankan mendapatkan khidmat peguam untuk pengurusan yang lebih teratur,” katanya.
Perbezaan prosedur ikut jenis harta
Seterusnya, mengenai lokasi dan prosedur pengurusan harta pusaka, Nur Syuhada menerangkan bahawa ia bergantung kepada jenis dan nilai harta yang ditinggalkan.
Jika harta yang ditinggalkan melibatkan pelbagai aset seperti rumah, tanah, kereta dan barang kemas, proses pusaka kecil adalah pilihan yang sesuai untuk mendapatkan surat pelantikan wakil pusaka (Letter of Administration - LA).
“Sekiranya hanya melibatkan barang kemas atau kereta sahaja, waris boleh membuat tuntutan melalui Amanah Raya atau mahkamah syariah dengan proses tuntutan faraid terlebih dahulu,” katanya.
Bagi kes-kes yang melibatkan harta pusaka bernilai tinggi melebihi RM5 juta, ia perlu dibawa ke Mahkamah Tinggi Sivil untuk perbicaraan dan penyelesaian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram