[VIDEO] Busana putih, solekan natural serlah seri pengantin 'puteri' kesayangan Tiara Jacquelina


  • Gaya
  • Jumaat, 08 Ogos 2025

Hani Karmila selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihan hati, Abang Saef Hud pada Khamis.

SERI bahagia jelas terpancar di wajah anak sulung pelakon dan penerbit terkenal Puan Sri Tiara Jacquelina, apabila Hani Karmila selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihan hati, Abang Saef Hud pada Khamis.

Majlis penuh bermakna itu berlangsung secara tertutup namun tetap meriah di sebuah premis acara sekitar The Mines, Seri Kembangan, Selangor dengan dihadiri keluarga terdekat dan kenalan rapat pasangan mempelai.

Momen bahagia bersejarah itu turut dikongsi oleh pelukis henna @melurizabyel yang diberi kepercayaan merias jari-jemari Hani Karmila yang mesra disapa Mila pada hari istimewanya. 

BACA LAGI: Misha sifatkan suami 'filter' terbaik, pelindung emosi di kala berdepan saat getir

BACA LAGI: 'Trauma bukan kelemahan, tak nampak pada mata, dalam hati masih terasa', Rita Sosilawati antara wanita titip kata semangat buat Bella Astillah

Dalam video tersebut turut kelihatan wajah Mila yang tampak bersih tanpa cela ataupun jerawat dirias oleh jurusolek popular, Khid Khalid.

Ramai memuji rias nipis itu, malah ada yang berpendapat beliau tidak memerlukan solekan tebal untuk menyerlahkan kecantikan dimiliki.

“Cantiknya… tak perlu mekap tebal-tebal, orangnya memang dah lawa,” kata seorang pengguna, Masrina Md Saad di ruangan komen.

Mila tampil anggun dalam persalinan rekaan pereka Afiq M sambil ibunya, Tiara setia berada di sisi sepanjang proses tata rias berlangsung.

Beberapa foto dan video yang dimuat naik di laman Instagram milik Mila turut memperlihatkan detik indah pasangan itu selepas sah bergelar suami isteri. 

Untuk rekod, Hani Karmila merupakan anak hasil perkahwinan Tiara bersama Allahyarham Hani Mohsin yang meninggal dunia pada 2006.

Biarpun dikenali sebagai anak kepada dua figura seni tersohor, Mila membina identitinya sendiri dalam dunia hiburan, buktinya muncul di layar perak menerusi filem Laknat yang ditayangkan pada Jun lalu

Tidak sekadar berbakat dalam lakonan, Mila juga aktif sebagai atlet dan jurulatih seni mempertahankan diri Jiu Jitsu, seklai gus membuktikan dirinya wanita serba boleh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram