
KEANGGUNAN dan warisan diraja diserlahkan menerusi rekaan indah oleh pereka fesyen terkenal, Fiziwoo apabila anakanda kepada Sultan Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah tampil menggayakan busana kurung eksklusif hasil rekaan khas jenama itu.
Busana dinamakan Sulam Ayak Kerawang itu direka khas dan dijahit sepenuhnya menggunakan teknik tangan oleh Fiziwoo.
Rekaannya menggabungkan gaya tradisional baju kurung labuh berwarna hitam dengan perincian sulaman mewah di bahagian hujung lengan dan keliling bawah baju.
Sulaman tangan yang rumit dan halus menggunakan benang perak serta hiasan manik kecil membentuk motif kerawang bercorak klasik sehingga menyerlahkan lagi sentuhan eksklusif pada busana berkenaan.
Tengku Puteri Afzan menggayakan busana itu dengan penuh sopan dan anggun yang lengkap dengan kain berlipat dan pemakaian darjah kebesaran di bahu sehingga menjadikan keseluruhan penampilannya tampak elegan.
Fiziwoo dalam hantaran Instagram berkata, rekaan itu adalah penghormatan kepada keindahan seni warisan Melayu yang diterjemahkan secara moden dan eksklusif.
“Anugerah diraja dalam setiap utas,” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, penampilan Tengku Puteri Afzan bersama suaminya, Fateh Idzham Fateh Iskandar menarik perhatian ramai yang memuji cita rasa fesyen baginda yang kekal sopan, berkelas dan menghargai seni buatan tangan tempatan.
"Cantik .. penampilan ayu dan sopan," tulis Fizaalsaudah.
"Tidak dinafikan, perincian yang baik. Bagus abang fizi," tulis Khairul Junoh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram